PASUKAN SMART mengeluarkan mayat daripada runtuhan bangunan di Nurgadi. FOTO Facebook SMART
PASUKAN SMART mengeluarkan mayat daripada runtuhan bangunan di Nurgadi. FOTO Facebook SMART
Ilah Hafiz Aziz


Kuala Lumpur: Operasi yang disertai Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), susulan tragedi gempa bumi Turkiye kini mula memasuki episod yang menyayat hati apabila pasukan menemukan mayat demi mayat yang terperangkap dalam runtuhan bangunan.

Dalam perkembangan terbaharu yang dikongsi di Facebook Smart, pada semalam pasukan itu menemukan tujuh mayat lagi di Nurdagi.

Mangsa ditemukan dan dikeluarkan Charlie 01 dan Delta 01 dari pasukan penyelamat kedua Malaysia (MAS-10) pada 5.55 petang waktu tempatan.

Bagaimanapun, menerusi perkembangan itu, SMART terpaksa menangguhkan SAR berikutan cuaca yang melampau.

"Atas faktor keselamatan pasukan, operasi mencari dan menyelamat ditangguhkan pada 7.50 petang, berikutan cuaca yang juga semakin sejuk," katanya.

Semalam, SMART menzahirkan perasaan bersyukur serta lega kerana berjaya menyelamatkan lima sekeluarga, selepas mangsa terperangkap dalam runtuhan bangunan kediaman mereka sejak enam hari lalu akibat gempa bumi dahsyat di Turkiye.

Lima mangsa berkenaan adalah kumpulan mangsa yang pertama ditemukan selamat oleh pasukan SAR negara sejak ditempatkan di sini.

Secara keseluruhan ketika berita ini dibuat, pasukan penyelamat negara membawa keluar 25 mayat dan lima mangsa hidup.

Gempa bumi besar berukuran 7.8 pada skala Richter yang melanda selatan Turkiye dan barat laut Syria pada Isnin lalu, meragut ribuan nyawa. Kesan gegaran turut dirasai di Cyprus dan Lubnan.

Pasukan MAS-01 berlepas dari Malaysia pada minggu lalu, manakala pasukan kedua MAS-02 terdiri daripada JBPM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan pasukan SMART.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2023 @ 8:59 AM