KHAIRUL Anuar, Wan Mohd Ikhwan Mohd Yusni, Dr Suhazeli dan Mohd Adram pada sidang media Pejabat Agung PAS, di sini, hari ini.
KHAIRUL Anuar, Wan Mohd Ikhwan Mohd Yusni, Dr Suhazeli dan Mohd Adram pada sidang media Pejabat Agung PAS, di sini, hari ini.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Sebanyak 33 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bergabung membentuk Aid4Turkiye bagi membantu mangsa gempa bumi Turkiye-Syria.

Antara NGO terbabit adalah PASRelief, Sejagat Relief, Al Azhar Care, Permai Care dan Khadijah Bentong.

Inisiatif daripada PASRelief itu mensasarkan kutipan RM1 juta pada fasa pertama yang mula dilancarkan hari ini.

Pengarah Aid4Turkiye, Mohd Yusni Mat Piah berkata, bantuan yang bakal diberikan itu dibuat secara berperingkat dalam beberapa fasa.

"Kami di PASRelief mengambil tanggungjawab atas apa berlaku di Turkiye dan Syria. Terpanggil dengan apa yang berlaku, kami membentuk satu sekretariat dipanggil Aid4Turkiye yang menggabungkan 33 NGO di seluruh negara.

"Menerusi inisiatif ini, kami meletakkan beberapa fasa untuk mendapatkan dana sumbangan bagi membantu mangsa gempa di Turkiye dan Syria.

"Bagi fasa pertama, kami mensasarkan kutipan RM1 juta. Jadi, semua NGO terbabit akan akan ambil tanggungjawab dengan mencari dana.

"Fasa kedua pada 21 Februari pula kami akan menerbangkan empat doktor perubatan untuk turun ke lapangan bagi membantu mangsa di penempatan sementara," katanya pada sidang media yang diadakan di Pejabat Agung PAS, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah 1 Aid4Turkiye, Wan Mohd Ikhwan Wan Ariff, Ketua Sekretariat, Dr Suhazeli Abdullah dan Bendahari Aid4Turkiye&Syria, Mohd Adram Musa.

Dalam masa sama, beliau berkata, misi bantuan itu turut menggerakkan 12 sukarelawan daripada NGO terbabit yang dijangka berlepas pada 16 Februari ini.

Menurutnya, fokus utama kutipan sumbangan adalah wang ringgit bagi memudahkan proses pembelian barangan keperluan mangsa di sana seperti baju sejuk, ubat-ubatan dan makanan.

"Sumbangan awal RM100,000 sudah diberikan kepada rakan strategik di sana iaitu PASRelief Turkiye. Fokus kutipan berbentuk dana wang ringgit. Kalau nak hantar barangan agak sukar dan ambil masa.

"Berdasarkan maklumat diberikan, keperluan paling kritikal ketika ini adalah baju sejuk, makanan dan ubat-ubatan. Kita juga nak mendirikan khemah sebagai penempatan sementara mangsa kerana yang sedia ada tidak mencukupi hingga ada yang tidur dalam kereta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Februari 2023 @ 8:32 PM