USTAZAH Asma’ (tiga dari kanan) bersama anggota Misi Bantuan Kemanusiaan Syria dan Turkiye 4.0 yang berlepas ke Turkiye, awal pagi hari ini. FOTO Ihsan MCM.
USTAZAH Asma’ (tiga dari kanan) bersama anggota Misi Bantuan Kemanusiaan Syria dan Turkiye 4.0 yang berlepas ke Turkiye, awal pagi hari ini. FOTO Ihsan MCM.
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Hasrat pendakwah popular, Ustazah Asma' Harun turun padang menyantuni sendiri rakyat Syria tercapai selepas beliau berpeluang menyertai Misi Bantuan Kemanusiaan Syria dan Turkiye 4.0 anjuran bersama Muslim Care Malaysia (MCM).

Ini kerjasama kali pertama antara MCM dengan Ustazah Asma' yang juga Penaung kepada dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Yayasan Al Hijrah dan Sahabat Amal Care.

Ustazah Asma' antara enam sukarelawan yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor ke Turkiye, 2 pagi hari ini dan dijangka pulang ke tanah air pada 15 Mei ini.

Ustazah Asma' berkata, beliau secara peribadi sudah lama menyimpan hasrat untuk ke Syria bagi membantu rakyat negara itu yang 12 tahun menderita akibat kesan peperangan dan terbaharu diuji gempa bumi dahsyat.

Katanya, pihaknya memilih MCM sebagai rakan kerjasama untuk merealisasikan impiannya menghantar bantuan ke Syria kerana yakin dengan integriti dan pengalaman luas MCM dalam misi kemanusiaan di peringkat antarabangsa.

Ketua misi, Mohd Johari Ismail berkata, misi ini adalah kali keempat dianjurkan MCM sejak gempa bumi kuat melanda dua negara itu pada 6 Februari lalu.

Katanya, MCM, Yayasan Al Hijrah dan Sahabat Amal Care memperuntukkan RM200,000 untuk misi bantuan 4.0 ini membabitkan pengagihan pek makanan, pakaian dan membaiki kerosakan rumah beberapa mangsa gempa yang sudah dikenal pasti.

"Untuk misi 4.0 ini, pada awalnya kami merancang untuk ke Syria, namun wakil MCM di Turkiye memberitahu kebenaran memasuki Syria melalui Turkiye dibekukan buat sementara waktu sehingga selepas Turkiye selesai mengadakan pilihan raya.

"Jadi, program kami terpaksa ditukar dengan memberi tumpuan kepada mangsa gempa bumi membabitkan pelarian Syria yang berada di Turkiye khususnya di Antakya, Kahramanmaras dan Iskenderun," katanya.

Turut serta dalam misi itu ialah suami Ustazah Asma', Tengku Fazli Tengku Yahya selaku Pengerusi Sahabat Amal Care dan Timbalan Pengerusi Yayasan Al Hijrah serta empat petugas media dari dua NGO itu.

Sementara itu, Presiden MCM, Zulkifli Wahijan berkata, lebih RM1 juta sumbangan rakyat Malaysia disalurkan kepada mangsa gempa bumi di dua negara itu sejak empat misi itu digerakkan MCM.

"MCM juga berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan Ustazah Asma' dan dua NGO dinaunginya itu.

"Dalam misi ketiga sebelum ini, kami turut bekerjasama dengan seorang lagi pendakwah popular iaitu Ustaz Wadi Annuar Ayub bersama NGO diketuainya, Pertubuhan Khidmat Ummah.

"Kerjasama dengan pendakwah, NGO dan pelbagai pihak lain bersama MCM menunjukkan mereka percaya kepada kemampuan dan gerak kerja MCM dalam menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan. Syukur Alhamdulillah," katanya.

Beliau berkata, sumbangan orang ramai untuk mangsa gempa bumi Syria dan Turkiye masih dialu-alukan.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank Muslim Care Malaysia 564490413882 (rujukan: Syria dan Turkiye) sebelum hantarkan slip pindahan wang kepada Hotline MCM 011-50050035 atau menghubungi Mohd Johari di talian 016- 9978323.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2023 @ 12:19 PM