SUASANA ketika pengagihan barangan sumbangan. FOTO Tuan Asri Tuan Hussein
SUASANA ketika pengagihan barangan sumbangan. FOTO Tuan Asri Tuan Hussein
Tuan Asri Tuan Hussein


Jindires (Syria): Baiki rumah yang rosak atau bina rumah baru. Itu keperluan utama ribuan penduduk di daerah ini yang menjadi mangsa gempa bumi pada 6 Februari lalu.

Pastinya ia membabitkan kos yang besar, namun Muslim Care Malaysia (MCM) memberanikan diri untuk mengambil sebahagian daripada tanggungjawab itu.

"Memang kami tak mampu untuk bina semua rumah untuk mereka, tapi insyaAllah kami akan buat setakat yang mampu," kata Setiausaha Agung MCM Ahmad Safuan Ujar yang kini berada di sini bersama lapan lagi sukarelawan MCM.

Menurutnya, Jindires antara kawasan di utara Syria yang teruk terjejas akibat gempa bumi yang lalu dengan lebih 700 orang terbunuh dan tidak kurang 1,000 kediaman musnah.

Ahmad Safuan berkata, kerja membaiki atau membina semula rumah mangsa gempa bumi pastinya memerlukan perancangan teliti dan mengambil masa agak panjang.

"Bagi merealisasikan usaha ini, kami besar kemungkinan akan menghantar satu lagi pasukan sukarelawan selepas ini dan sumbangan orang ramai amat kami perlukan," katanya.

Beliau berkata, sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Maybank 564490413882 atas nama Muslim Care Malaysia dan hantarkan slip sumbangan kepada talian hotline MCM: 011-5005 0035 atau atau Ahmad Safuan: 013-488 6447.

Setakat ini, katanya, sejumlah RM100,000 sudah diserahkan kepada pihak pengurusan MCM Turkiye/Syria bagi menjalankan kerja-kerja awal peringkat fasa pertama.

Kelmarin, konvoi 10 lori digunakan untuk mengagihkan sumbangan kepada 400 keluarga mangsa gempa bumi yang tinggal di dalam khemah sekitar Jindires.

Mereka menerima kotak mengandungi pelbagai makanan seberat 50 kilogram, selimut dan kayu api daripada MCM yang nilai keseluruhannya kira-kira RM100,000.

Pasukan kedua sukarelawan MCM berada di Turkiye dan Syria sejak Rabu lalu bagi membantu mangsa gempa bumi sebelum dijadualkan pulang Selasa depan.

Sebelum ini, kumpulan pertama berada di beberapa daerah di Hatay, Turkiye selama enam hari bermula 9 Februari, iaitu hanya tiga hari selepas gempa berukuran 7.8 magnitud dan setakat ini mengorbankan hampir 50,000 nyawa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2023 @ 1:05 PM