LANS Koperal Edrin Baintim (tengah) bersama ibu dan ayahnya. FOTO Ihsan Keluarga
LANS Koperal Edrin Baintim (tengah) bersama ibu dan ayahnya. FOTO Ihsan Keluarga
Nuraliawati Sabri


Melaka: Kementerian Pertahanan mengesahkan tiada perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) dikesan ketika berlangsungnya kursus juruselam disertai anggota komando Lans Koperal Edrin Baintim yang dikhuatiri lemas, di perairan Pulau Undan, Selasa lalu.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata, laporan awal sudah diterima pihaknya dan mendapati semua aspek yang ditetapkan dipatuhi ketika kursus selaman dijalankan.

"Mengikut laporan dilakukan (awal), kita mengikut semua termasuk dari segi peralatan dan juga SOP yang ditetapkan. Jadi SOP semua kita ikut.

"Selain itu, bukan kumpulan pertama (kumpulan mangsa) sebaliknya kumpulan kedua dan sebelum itu kita sudah lakukan selaman di kedalaman kira-kira 18 meter (60 kaki) sebelum meneruskan ke selaman 36.5 meter (120 kaki)," katanya pada sidang media selepas meninjau operasi mencari dan menyelamat (SAR) di perairan Pulau Besar yang turut disertai Panglima 21, GGK Ke-15 Mejar General Nubli Hashim, hari ini.

Menurut beliau, perairan Pulau Undan, lokasi mangsa dilaporkan hilang adalah kawasan yang sering diguna Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam latihan penyelaman.

"Bagaimanapun penilaian lanjut akan diteruskan memandangkan terdapat pelbagai faktor boleh menyebabkan kemalangan itu, tetapi apa yang penting di peringkat ATM memang memberikan tumpuan kepada faktor keselamatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Februari 2023 @ 8:02 PM