LANS Koperal Edrin Baintim bersama ibu dan ayahnya. FOTO Ihsan Keluarga
LANS Koperal Edrin Baintim bersama ibu dan ayahnya. FOTO Ihsan Keluarga
Nuraliawati Sabri


Melaka: "Tiada apa yang saya dan keluarga harapkan, selain adik dapat ditemui dengan segera," itu luah abang kepada anggota komando Lans Koperal Edrin Baintim, yang dikhuatiri lemas di perairan Pulau Undan pada, Selasa.

Ingin dikenali sebagai Andy, 28, dia berkata, sejak menerima berita mengenai kehilangan adik bongsu daripada 10 beradik itu, emosi kedua ibu bapanya di kampung terganggu.

"Kami adik beradik tidak tahan melihat emosi ibu dan bapa yang berada di kampung, menunggu jawapan yang belum pasti.

"Jadi besarlah harapan saya dan keluarga agar adik dapat ditemui. Ketika ini, saya, abang, kakak dan sepupu kami ditempatkan di Kem Sungai Udang, bagi mengikuti perkembangan semasa pencarian adik," katanya.

Anak kesembilan itu berkata, dia hanya mengetahui kehilangan adiknya kira-kira jam 4 petang, hari kejadian menerusi kumpulan WhtasApp sebelum menghubungi sepupunya yang bertugas di kem sama dengan adiknya di Kem Iskandar, Mersing Johor.

"Memang terkejut dan tidak percaya ketika itu tetapi selepas mendengarnya dari sepupu, saya akur.

"Kami berdua memang rapat, malah sering berkongsi cerita dan masalah bersama-sama selain pada Januari lalu dia ada memindahkan sejumlah wang kepada saya untuk membayar semua bil di kampung," katanya.

Menurutnya, kali terakahir mereka sekeluarga berkumpul pada perkahwinan kakak mereka, Mei tahun lalu dan waktu itu Edrin hanya cuti selama empat hari.

"Edrin seorang yang amat mengutamakan keluarga malah sesibuk manapun menjalani kehidupan sebagai anggota komando dia akan mencari masa membuat panggilan video.

"Malah kali terakhir kami berhubung awal bulan sebelum dia menjalani kursus selaman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Februari 2023 @ 5:33 PM