EDRIN yang juga anggota GGK  dilaporkan hilang ketika menjalani latihan menyelam di Pulau Undan, Melaka.
EDRIN yang juga anggota GGK dilaporkan hilang ketika menjalani latihan menyelam di Pulau Undan, Melaka.
Oleh Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: "Selamat berehat kepada adik bongsu kami." Itu yang dikongsikan ahli keluarga Lans Koperal Edrin Baintim, 25, anggota komando tentera darat yang mayatnya ditemui selepas 12 hari hilang di perairan Pulau Undan, Melaka.

Penemuan mayat anggota Grup Gerak Khas (GGK) itu di Batu 8, Kampung Batu Laut, Tanjung Sepat, Banting, kelmarin mengakhiri keresahan keluarga yang sebelum ini sangat berharap jasad insan kesayangan mereka ditemui untuk disemadikan dengan aman.

Seorang ahli keluarga mendiang menggunakan akaun Facebook Andy Loys berkongsi rasa sedih atas kehilangan Edrin namun reda dengan ketentuan tuhan.

"Rehatlah dengan tenang. Anda hebat, wira negara Malaysia. Kami yang tinggal (masih hidup) juga akan melalui kematian," katanya dalam hantaran FB, semalam.

Menurutnya juga, pengebumian mendiang akan dijalankan hari ini di Kampung Maliau, Tongad, Sabah dengan sesi penghormatan terakhir akan berlangsung mulai 6 pagi hingga 3 petang di rumah keluarganya di kampung itu.

Keluarga Edrin juga berterima kasih kepada semua pihak yang terbabit dalam misi pencarian anggota tentera itu sejak 7 Februari lalu.

"Terima kasih di atas doa dan semangat yang diberikan. Terima kasih juga semua agensi yang terbabit dalam misi pencarian adik bongsu kami yang hilang dibawa arus semasa kursus selam di Pulau Udan, 7 Februari lalu.

"Hari ke-12 barulah dijumpai. Hidup dan mati sudah ketentuan-Nya. Siapa kita, hanya manusia biasa, (yang) tidak tahu bila takdir hendak jemput kita tapi sudah takdir, mati itu pasti bagi manusia," katanya.

Dalam pada itu, abang Edrin, Fikri Abdullah, 41, berkata, meskipun sedih dengan kehilangan adik bongsunya itu, dia reda dan bersyukur mayat Edrin akhirnya ditemukan.

Ditanya mengenai reaksi ibu bapa mereka, Fikri berkata, susah untuk menggambarkan keadaan mereka.

"Ibu dan ayah masih belum terima hakikat yang anak bongsu kesayangan mereka sudah tiada.

"Sebelum ini, adik pernah beritahu kami yang dia mahu pulang ke kampung tapi disebabkan terlampau sibuk dengan tugasnya, dia menangguh hasratnya itu," katanya kepada Bernama.

Fikri yang juga pekerja swasta berkata, mereka sekeluarga sempat berkumpul semasa cuti Tahun Baharu Cina, baru-baru ini.

"Masa itu adik cuti dua hari, kami berkumpul di rumah kakak di Klang, adik tidak ada menunjukkan sebarang perubahan, dia tetap ceria seperti biasa," kata Fikri yang menetap di Semenanjung bersama lima lagi adik-beradiknya.

Katanya, Edrin seorang yang tegas tetapi suka bergurau dengan adik-beradik, selain amat mengutamakan ibu bapa dan keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2023 @ 7:00 AM