Mohd Roji Kawi


Kuching: Polis menyelesaikan kes samun kedai makan di Jalan Stutong, Selasa lalu dengan tertangkapnya seorang lagi suspek, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, polis turut merampas kereta yang disyaki digunakan suspek dalam kejadian samun itu.

Beliau berkata, suspek kedua itu ditahan di bandar raya ini pada jam 7.30 malam tadi selepas pihaknya berjaya menahan suspek pertama pada jam 9.30 malam kelmarin.

"Suspek kedua berusia 23 tahun itu didapati mempunyai beberapa rekod jenayah lampau berkaitan dadah, harta benda dan pecah rumah.

"Dengan tertangkapnya dua suspek itu, polis yakin kes samun bersenjatakan parang itu selesai," katanya ketika ditemui selepas Program Pemberian Dos Penggalak Vaksin Covid-19 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, hari ini.

ASHMON ditemui selepas Program Pemberian Dos Penggalak Vaksin Covid-19 di IPD Kuching. FOTO Nadim Bokhari
ASHMON ditemui selepas Program Pemberian Dos Penggalak Vaksin Covid-19 di IPD Kuching. FOTO Nadim Bokhari

Seramai 202 pegawai dan anggota IPD Kuching mengambil suntikan dos penggalak kedua vaksin Covid-19 itu bagi meningkatkan imunisasi petugas barisan hadapan itu.

Kelmarin, polis menahan suspek pertama berusia 36 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian jam 4.55 pagi, Selasa lalu, dua lelaki dengan seorang daripadanya bersenjatakan parang menyamun pekerja dan pelanggan sebuah kedai makan di Jalan Stutong, di sini.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan, seorang lagi rakan penjenayah itu dipercayai menunggu di dalam kereta.

Ketika kejadian, terdapat seorang pekerja dan dua pelanggan duduk di meja berasingan di dalam kedai makan berkenaan.

Dalam rakaman CCTV yang tular di media sosial, suspek dilihat bertindak agresif dengan menolak serta menghayun kerusi ke arah pekerja.

Selepas merampas barangan daripada pekerja, suspek menyamun salah seorang pelanggan pula dan kerugian yang dialami dalam kejadian itu berjumlah RM2,000.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 January 2023 @ 10:50 AM