AHSMON Bajah bercakap pada sidang media selepas meninjau Program Pemberian Vaksin Penggalak Covid-19 kepada pegawai dan anggota IPD Kuching di kompleks perumahan polis Tabuan Jaya. FOTO Melvin Joni
AHSMON Bajah bercakap pada sidang media selepas meninjau Program Pemberian Vaksin Penggalak Covid-19 kepada pegawai dan anggota IPD Kuching di kompleks perumahan polis Tabuan Jaya. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni

Kuching: Seramai 880 pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching akan ditugaskan pada Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN-12).

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, persediaan itu membabitkan sembilan balai polis di bawah IPD Kuching.

"Jumlah ini akan ditambah dengan kekuatan 150 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada Pusat Latihan Polis (Pulapol), Pasukan Polis Marin (PPM), Pasukan Gerakan Udara (PGU) dan Pasukan Gerakan Am (PGA)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau Program Pemberian Vaksin Penggalak Covid-19 kepada pegawai dan anggota IPD Kuching di kompleks perumahan polis Tabuan Jaya di sini, hari ini.

Menurutnya, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail juga meluluskan untuk pihaknya mendapatkan bantuan luar lain iaitu Pasukan Sukarelawan Polis (PVR).

Selain itu, beliau berkata, pihaknya juga dalam perancangan untuk menggunakan khidmat Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dalam penugasan tertentu.

"Secara keseluruhan, IPD Kuching dijangka menggunakan kekuatan 1,781 pegawai, anggota dan bantuan luar untuk penugasan PRN nanti," katanya.

Sementara, Ahsmon berkata, 503 pegawai dan anggota polis di bawah IPD Kuching sudah menerima dos penggalak vaksin Covid-19 menerusi program dua hari bermula semalam (3 November) yang juga peringkat pertama vaksin penggalak Pfizer.

Beliau berkata, setakat ini hanya 503 orang yang layak menerima dos penggalak daripada jumlah keseluruhan pegawai dan anggota IPD Kuching seramai 983 orang.

"Ia berikutan ada anggota dan pegawai mempunyai masalah kesihatan selain menunggu tempoh layak menerima dos penggalak ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 November 2021 @ 2:30 PM