WANITA yang terkandas di hutan Taman Negara Gunung Gading sejak semalam, berjaya diselamatkan. FOTO ihsan Bomba
WANITA yang terkandas di hutan Taman Negara Gunung Gading sejak semalam, berjaya diselamatkan. FOTO ihsan Bomba
Mohd Roji Kawi


Kuching: Dua wanita terpaksa bermalam di hutan Taman Negara Gunung Gading apabila mereka terkandas selepas mendaki gunung itu, semalam.

Kedua-dua mangsa berusia 53 dan 57 tahun dikatakan gagal mencari jalan keluar akibat cuaca gelap dan tersasar dari laluan denai hutan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 6.08 petang.

Menurutnya, sepasukan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu dibantu anggota polis dan renjer Sarawak Forestry Corporation (SFC) melancarkan gerakan mencari dan menyelamat (SAR) sejurus menerima panggilan itu.

"Kedua-dua mangsa berjaya ditemui selamat pada 2.21 pagi tadi dalam keadaan kesejukan dan keletihan.

"Bagaimanapun, usaha membawa mereka turun tidak dapat dilakukan dalam keadaan gelap serta licin dan atas nasihat renjer SFC operasi akan diteruskan menjelang siang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pasukan SAR kemudian membawa mangsa turun pada 6.50 pagi menggunakan laluan denai yang biasa digunakan oleh pendaki.

"Pasukan SAR serta kedua-dua mangsa selamat sampai di kaki gunung pada 12.10 tengah hari ini selepas menempuh perjalanan kira-kira enam jam dari lokasi mangsa ditemui," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 January 2023 @ 1:10 PM