PASUKAN SAR membantu mangsa. FOTO Ihsan Bomba
PASUKAN SAR membantu mangsa. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Roji Kawi

SELEPAS hampir seminggu, pendaki yang hilang ketika mendaki Gunung Singai, Bau, Isnin lalu, ditemui selamat hari ini.

Stanley Kho, 22, ditemukan dalam keadaan lemah di dalam gaung berbatu di kaki gunung berkenaan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, mangsa ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira 8.30 pagi.

“Mangsa yang dalam keadaan amat lemah kini sudah dibawa keluar dan diberikan rawatan awal sebelum dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut," katanya.

Operasi SAR yang dilancarkan sejak Isnin lalu membabitkan hampir 300 anggota pelbagai agensi selain dibantu penduduk kampung dan persatuan pendaki.

Mangsa, dilaporkan hilang selepas mendaki gunung itu bersendirian, pada jam 8 pagi Isnin lalu dan laporan mengenainya diterima pihak berkuasa, pada 4.35 hari sama.

Kehilangan Stanley disedari tiga rakannya yang menemui keretanya diletakkan di kaki gunung berkenaan.

Selasa lalu, mangsa menghantar kedudukan lokasinya disertai dengan video berdurasi empat saat.

Bagaimanapun, selepas dipadankan dengan peta sebenar, lokasi yang dihantar menerusi aplikasi WeChat itu tersasar di luar kawasan gunung berkenaan iaitu di Kampung Tanjung Poting.

Petang semalam pasukan SAR menemui petunjuk baharu apabila kesan tapak kasut selain pucuk rebung yang dipatahkan ditemui di lokasi pencarian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 September 2018 @ 9:44 AM