ABU Bakar  (kiri) dan Mohd Hafarizam yang terbabit dalam petisyen mencabar keputusan PRU-15 bagi Parlimen Gua Musang. FOTO ihsan Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff
ABU Bakar (kiri) dan Mohd Hafarizam yang terbabit dalam petisyen mencabar keputusan PRU-15 bagi Parlimen Gua Musang. FOTO ihsan Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Wakil kepada calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi di sini, bagi mencabar keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi Parlimen itu.

Petisyen berkenaan difailkan pada 3 Januari lalu oleh Mohd Azmi Mahmood di Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

Dalam petisyen itu, Mohd Azmi menerusi barisan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Md Abdullah, Datuk Mohd Hafarizam Harun, Datuk Abu Bakar Isa Ramat, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff, Norhazira Abu Haiyan dan Muhammad Amin Othman menamakan tiga responden iaitu Ahli Parlimen Gua Musang dari Perikatan Nasional (PN), Datuk Mohd Azizi Abu Naim, Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ab Fatah Hasbullah dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menurut Mohamed Baharudeen, petisyen berkenaan meminta supaya keputusan PRU-15 bagi Parlimen Gua Musang dibatalkan dan menggesa SPR mengadakan pilihan raya kecil bagi Parlimen itu.

Katanya, petisyen berkenaan difailkan bagi mencabar keputusan PRU-15 bagi kerusi Parlimen Gua Musang yang didakwa berlaku politik wang.

"Selain itu, anak guam kami mendakwa, peti undi dari Pusat Daerah Mengundi (PDM) iaitu di beberapa saluran tidak dikira dan kertas undi tidak dikembalikan.

"Pengurusan kes dibaca buat kali pertama di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kota Bharu Tuan Nik Habri Muhamad di Mahkamah Tinggi Kota Bharu semalam," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohamed Baharudeen berkata, mahkamah mengarahkan untuk menyempurnakan surat cara berkaitan serahan terlebih dulu dan hadir semula untuk pengurusan kes pada 25 Januari ini

Kes dikendalikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Datuk Roslan Abu Bakar.

Pada PRU-15 lalu, Tengku Razaleigh atau Ku Li gagal mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang untuk kali ke-12, apabila tewas kepada Mohd Azizi yang mendapat majoriti tipis 163 undi.

Mohd Azizi memperoleh 21,826 undi, manakala Tengku Razaleigh pula mendapat 21,663 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2023 @ 11:51 AM