GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi Kota Bharu, hari ini membatalkan petisyen pilihan raya yang dikemukakan wakil kepada veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah untuk mencabar keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi Parlimen Gua Musang.

Pada PRU-15 lalu, Tengku Razaleigh yang menyandang kerusi parlimen itu sejak 1974, kalah dengan majoriti tipis 163 undi kepada calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Mohd Azizi Abu Naim.

Peguam Yusfarizal Yussoff yang mewakili Mohd Azizi ketika dihubungi berkata, Hakim Datuk Amarjeet Singh yang bertindak selaku Hakim Mahkamah Pilihan Raya membatalkan petisyen terbabit dalam prosiding, hari ini.

Menurutnya, ia berikutan mahkamah dimaklumkan wakil Tengku Razaleigh yang juga pengundi selaku pempetisyen, Mohd Azmi Mahmood memecat semua peguam termasuk Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Datuk Mohd Hafarizam Harun.

Katanya, mahkamah juga dikemukakan surat daripada Azmi kepada firma guaman Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak bertarikh semalam yang memaklumkan mengenai pemecatan peguam terbabit.

Pada 26 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Kota Bharu membatalkan petisyen difailkan Mohd Azmi selepas menerima semua tiga alasan dalam bantahan awal Azizi termasuk tarikh petisyen difailkan melebihi had masa yang ditetapkan selama 28 hari mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Bagaimanapun pada 19 Jun lalu, Mahkamah Persekutuan memerintahkan petisyen berkenaan dibicarakan secara penuh selepas mendapati ada kekhilafan dalam keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

Azmi memfailkan petisyen itu pada 3 Januari lalu susulan dakwaan wang dibayar kepada beberapa pengundi dan beberapa peti undi dari pusat mengundi tertentu tidak dikira.

Beliau memohon mahkamah membatalkan keputusan pilihan raya itu dan pemilihan baharu diadakan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2023 @ 1:50 PM