Antara perwakilan dan pengunjung pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2022 yang berlangsung selama empat hari di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini. FOTO BERNAMA
Antara perwakilan dan pengunjung pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2022 yang berlangsung selama empat hari di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini. FOTO BERNAMA
Oleh Paya Linda Yahya


Gua Musang: Ahli Parlimen Gua Musang, Datuk Mohd Azizi Abu Naim menghormati dan menerima dengan hati yang terbuka petisyen mencabar keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerusi Parlimen itu yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu 3 Januari lalu.

Katanya, beliau juga sudah menerima petisyen yang difailkan wakil calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah pada Selasa lalu.

"Saya sudah menerima petisyen berkenaan pada Selasa lalu dan sedia maklum dengan segala butiran yang terdapat dalam petisyen itu.

"Khamis lalu saya ada bersama Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan beliau juga sedia maklum dengan petisyen berkenaan.

"Pagi semalam pula, kita sudah membuat susulan dengan salah seorang peguam dan beliau akan menubuhkan pasukan untuk kita lawan semula," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Azizi berkata, beliau yakin dengan kebenaran dan menyerahkan segala keputusan mengikut sistem perundangan.

Semalam media melaporkan Mohd Azmi Mahmood selaku wakil calon BN Parlimen Gua Musang memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 3 Januari lalu mencabar keputusan PRU15 bagi Parlimen itu.

Dalam petisyen itu, Mohd Azmi menerusi barisan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Md Abdullah, Datuk Mohd Hafarizam Harun, Datuk Abu Bakar Isa Ramat, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff, Norhazira Abu Haiyan dan Muhammad Amin Othman menamakan tiga responden iaitu Ahli Parlimen Gua Musang dari Perikatan Nasional (PN), Datuk Mohd Azizi Abu Naim, Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ab Fatah Hasbullah dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 January 2023 @ 3:22 PM