Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Petisyen yang difailkan wakil calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah di Mahkamah Tinggi Kota Bharu bagi mencabar keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen itu adalah sah.

Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Kelantan, Fakhrul Razi Ab Wahab berkata, petisyen berkenaan difailkan pada 3 Januari lalu.

Katanya, petisyen pilihan raya perlu difailkan di Mahkamah Tinggi dalam masa 21 hari dari tarikh keputusan pilihan raya diwartakan.

"Tarikh warta adalah dari 14 Disember dan berakhir pada 3 Januari lalu. Individu yang memfailkan petisyen itu adalah ejen kepada calon BN Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

"Petisyen itu menamakan tiga responden termasuk SPR Malaysia. Petisyen berkenaan difailkan kerana mendakwa berlakunya rasuah iaitu bagi duit kepada pengundi luar.

"Selain itu, alasan petisyen itu dibuat kerana pegawai pilihan raya enggan mengulang kira di pusat penjumlahan rasmi undi. Tetapi pegawai pilihan raya tolak kerana tidak boleh mengulang kira di pusat penjumlahan rasmi undi, sebaliknya yang boleh mengulang kira adalah di saluran," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, hanya saluran sahaja boleh mengulang kira sekiranya perbezaan undi adalah empat peratus atau kurang.

Menurutnya, jika majoriti undi lebih daripada empat peratus, ia tidak boleh diulang kira kembali.

Terdahulu, media melaporkan wakil kepada calon BN Parlimen Gua Musang itu, Mohd Azmi Mahmood memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi di sini.

Mengulas lanjut, Fakhrul Razi berkata, petisyen yang difailkan itu adalah yang pertama di Kelantan.

#kw petisyen, cabar, PRU15, Parlimen, Gua Musang, SPR, sah, Kota Bharu

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2023 @ 4:22 PM