PENUMPANG menaiki feri di Jeti Kuah, Langkawi. FOTO Hamzah Osman
PENUMPANG menaiki feri di Jeti Kuah, Langkawi. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman

Langkawi: Isu kekurangan perjalanan feri Kuala Perlis-Langkawi dijangka berlarutan selama empat bulan lagi berikutan kerja pengerukan alur pelayaran di Kuala Perlis.

Pengarah Jabatan Laut Malaysia (JLM) Wilayah Utara, Mohd Hafiz Abdul Majid, berkata bagaimanapun perjalanan feri bagi laluan Kuala Kedah-Langkawi sudah boleh beroperasi di tahap maksimum.

"Kerja pengerukan di Kuala Perlis didapati lambat dan terkebelakang daripada jadual asal dengan kontraktor mengemukakan mitigasi dan memohon melanjutkan tarikh siap sehingga 20 Mei ini.

"Mesyuarat tapak akan diadakan esok dan JLM akan menilai mitigasi terbabit, jika boleh kita mahu semua kerja disiapkan pada 30 April," katanya pada sidang media selepas Sesi Perjumpaan Penggiat Industri pelancongan Langkawi di Kompleks Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) di sini, hari ini.

Mohd Hafiz berkata, semua pihak mahu projek pengerukan di Kuala Perlis disiapkan awal iaitu sebelum berlangsungnya Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA '23) mulai 23 hingga 27 Mei ini.

"Berita baik apabila kerja pengerukan alur di Kuala Kedah sejauh 70 meter telah siap sepenuhnya pada 28 Disember lalu, dan operasi feri kini boleh mencapai tahap maksimum.

"Menjelang sambutan Tahun Baharu Cina penyedia perkhidmatan feri juga berjanji menyediakan 10 perjalanan sehala sehari bagi laluan Kuala Kedah-Langkawi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2023 @ 1:08 PM