GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Mulai esok, hanya satu perjalanan pergi dan balik buat penumpang ke Pulau Langkawi dari Terminal Feri Kuala Kedah, berbanding dua 'trip' sebelum ini.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi, Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kepten Baharin Baharom berkata, pengurangan itu dibuat susulan penumpang lebih memilih menaiki feri di Kuala Perlis berikutan jarak lebih dekat dengan pulau peranginan itu.

Untuk itu, katanya, bagi Khamis dan Jumaat, pihaknya menyediakan perkhidmatan pada 1.30 petang di Kuala Kedah dan feri berlepas dari Pulau Langkawi pada 10.30 pagi.

"Bagi Sabtu hingga Rabu, perjalanan dari Kuala Kedah akan bermula 3 petang dan 12 tengah hari dari Langkawi.

"Jadual perjalanan dari Terminal Feri Kuala Perlis masih kekal dua 'trip' sehari," katanya ketika ditemui.

Baharin berkata, meskipun perjalanan dari Kuala Kedah berkurangan, pihaknya masih menerima banyak tempahan dengan 68 tiket ditempah secara dalam talian setakat semalam.

Katanya, perkhidmatan feri akan ditambah dari semasa ke semasa bergantung kepada permintaan dan memberi jaminan bekalan tiket masih mencukupi.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Laut Malaysia (JLM) Wilayah Utara, Mohd Hafiz Abdul Majid ketika dihubungi berkata, tempoh percubaan untuk satu 'trip' Kuala Kedah-Langkawi hanya setakat hujung bulan ini.

"Feri akan ditambah bergantung permintaan dan untuk perjalanan darat, pelancong hanya perlu menunjukkan surat kebenaran polis bagi gelembung pelancongan ini.

"Mereka juga perlu menjalani ujian saringan pengesanan Covid-19 sama ada RT-PCR, RTK-Antigen atau ujian kendiri bagi memastikan bebas wabak sebelum menaiki feri," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 September 2021 @ 9:57 AM