PERKHIDMATAN feri dari Terminal Kuala Kedah ke Pulau Langkawi. FOTO arkib NSTP
PERKHIDMATAN feri dari Terminal Kuala Kedah ke Pulau Langkawi. FOTO arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Perjalanan feri ulang alik Langkawi-Kuala Kedah hanya beroperasi sehari sekali ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan penyusunan semua jadual mengikut keadaan air pasang surut.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Baharin Baharom berkata, jadual berkenaan dikeluarkan oleh Pusat Hidrofogi Nasional, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berikutan alur pelayaran ditutup lumpur.

"Memandangkan alur pelayaran Kuala Kedah cetek kerana ditutupi lumpur, maka satu satu perjalanan dibuat sehari dari Kuala Kedah dan ia sudah disusun sejak 13 Januari lalu.

"Kita mempunyai pengalaman feri terkandas akibat air pasang surut, dan tidak mahu penumpang terkandas terutama ketika PKP selain mengelak penularan Covid-19," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Menurutnya, jadual perjalanan perjalanan dari Langkawi ke Kuala Kedah, hari ini pada 1.30 tengah hari manakala 5.30 petang dari Kuala Kedah-Langkawi.

Katanya, esok pula feri dijadualkan dari Langkawi-Kuala Kedah pada 9 pagi dan 5.30 petang dari Kuala Kedah-Langkawi.

"Perjalanan dari Langkawi-Kuala Kedah akan dijadualkan antara 9 pagi hingga 1.30 tengah hari sehingga 31 Januari ini, namun bagi perjalanan dari Kuala Kedah-Langkawi dijadualkan antara 2.30 petang sehingga 7 malam.

"Pihak kami juga hanya membenarkan penumpang yang mempunyai surat kebenaran polis untuk menaiki feri sepanjang PKP," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 2:22 PM