Feri yang membawa 133 penumpang dari Kuala Kedah ke Langkawi terkandas akibat tersangkut tali sauh di perairan Kuala Kedah. FOTO ihsan Ferrylines Ventures
Feri yang membawa 133 penumpang dari Kuala Kedah ke Langkawi terkandas akibat tersangkut tali sauh di perairan Kuala Kedah. FOTO ihsan Ferrylines Ventures
Hamzah Osman


Langkawi: Jabatan Laut Malaysia (JLM) menubuhkan pasukan penyiasat bagi memastikan insiden feri terkandas di alur pelayaran di Jeti Kuala Kedah petang semalam, tidak berulang.

Menurut kenyataan JLM, pasukan itu juga akan memantau pemeriksaan yang dilakukan organisasi diiktiraf ke atas keselamatan feri itu sebelum ia dibenarkan beroperasi semula.

"JLM menerima laporan kecemasan berkaitan insiden sebuah feri penumpang terkandas di alur pelayaran Kuala Kedah mengakibatkan enjinnya mati pada 4.16 petang semalam.

"Kejadian membabitkan feri membawa 139 penumpang termasuk enam bayi itu dilaporkan berlaku pada kedudukan 0.78 batu nautika dari Terminal Feri Penumpang Kuala Kedah," kata kenyataan itu.

Katanya, susulan insiden itu, JLM bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengaktifkan Pelan Kontigensi Mass Maritime Rescue Operation (MMRO).

"Menerusi operasi itu, semua penumpang diselamatkan dan kemudian dibawa kembali ke Terminal Feri Penumpang Kuala Kedah pada 6.21 petang.

"Selain JLM dan Maritim Malaysia, operasi itu turut membabitkan nelayan, operator feri, bot tunda, orang awam di sekitar Kuala Kedah," kata kenyataan itu.

Media semalam melaporkan, sebuah feri yang membawa 133 penumpang dari Kuala Kedah ke Langkawi tersangkut berhampiran jeti Kuala Kedah, kira-kira 4 petang.

Ini adalah kejadian kedua membabitkan feri penumpang tersangkut pada tali sauh kapal di kawasan Kuala Kedah dalam tempoh seminggu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Oktober 2022 @ 8:50 AM