PENYOKONG Malaysia dan penyokong Thailand bergambar bersama ketika hadir  menyaksikan perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil.
PENYOKONG Malaysia dan penyokong Thailand bergambar bersama ketika hadir menyaksikan perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kuala Lumpur: 'Kehilangan' hampir 21,000 suara langsung tidak mematahkan semangat penyokong untuk menggegarkan Stadium Nasional Bukit Jalil yang menjadi medan pertembungan separuh akhir pertama Piala Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) 2022 antara Malaysia dan Thailand, malam kelmarin.

Seorang penyokong tegar daripada Ultras Malaya, Abang Mohd Zulfardy Abang Shamsu, 38, berkata, jumlah kehadiran penonton bukan menjadi perkara pokok kerana baginya semangat 'pemain ke-12' yang menggemakan stadium mampu memberikan aspirasi kepada skuad Harimau Malaya untuk mencipta kejayaan.

PENYOKONG skuad Harimau Malaya memenuhi pekarangan  Stadium Nasional Bukit Jalil.
PENYOKONG skuad Harimau Malaya memenuhi pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil.

"Saya yakin semangat 'ekor' kita mampu menggegarkan stadium. Saya jangka Malaysia menang 3-0 dan seterusnya layak ke final.

"Bagaimanapun, doa rakyat Malaysia itu yang penting dalam menentukan kejayaan pasukan kita pada Piala AFF 2022," katanya.

Seorang operator kilang Muhd Hakimi Jalil, 24, yakin kehadiran penonton walaupun stadium tidak penuh pada malam ini (kelmarin) tetap akan menggerunkan skuad Gajah Perang.

"Walaupun stadium tidak penuh, kami akan pastikan sorakan penyokong kita mampu menakutkan pemain Thailand. Insya-Allah Malaysia menang 2-0," katanya yang datang dari Kuantan, Pahang bagi menyaksikan perlawanan itu.

Seorang eksekutif pemasaran dari Shah Alam, Nurul Aina Sharbini, 28, percaya kontroversi berhubung penjualan tiket perlawanan separuh akhir baru-baru ini memberi hikmah kepada Malaysia untuk menjulang kejuaraan Piala AFF kali ini.

Sementara itu, tukang masak dari Kuala Terengganu, Azman Nawawi, 45, berharap pihak stadium mampu memastikan padang berada dalam keadaan baik sekiranya Malaysia layak ke final.

SEBAHAGIAN penyokong Thailand bergambar di luar pintu masuk  Stadium Nasional Bukit Jalil.
SEBAHAGIAN penyokong Thailand bergambar di luar pintu masuk Stadium Nasional Bukit Jalil.

"Konsert akan berlangsung 15 Januari ini dan jika Malaysia masuk final mungkin main keesokan hari (16 Jan). Jadi, saya harap pihak stadium mampu pastikan padang tidak rosak," katanya.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Noor Azman Rahman pada Rabu lalu memaklumkan, sebanyak 21,000 tempat duduk terpaksa 'dikosongkan' kerana dihalang oleh struktur pentas konsert Jay Chou yang sedang proses pemasangan.

Pada Khamis lalu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menjelaskan pemasangan struktur pentas di lokasi konsert berkenaan telah ditempah awal oleh pihak penganjur artis terkenal dari Taiwan itu sejak Mac 2019 malah turut melibatkan jumlah kru yang ramai.

PEMINAT Harimau Malaya dan skuad Gajah Perang bergambar bersama.
PEMINAT Harimau Malaya dan skuad Gajah Perang bergambar bersama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2023 @ 7:30 AM