Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Selepas hampir dua tahun Stadium Nasional Bukit Jalil sepi tanpa sebarang kejohanan kompetitif, hari ini venue berkenaan kembali meriah dengan kehadiran puluhan ribu penyokong yang hadir bagi menyaksikan final Piala Malaysia membabitkan Johor Darul Ta'zim (JDT) menentang Kuala Lumpur City FC.

Walaupun kehadiran penyokong kali ini agak terhad iaitu kira-kira 20,000 orang saja dibenarkan namun kemeriahan tetap dirasai dengan mereka perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

PENYOKONG  KL City   bergambar bersama  penyokong  JDT yang memeriahkan suasana final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
PENYOKONG KL City bergambar bersama penyokong JDT yang memeriahkan suasana final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad

Jumlah itu jauh lebih kecil berbanding sebelum ini yang mana gelanggang final sentiasa dipenuhi penyokong mengikut kapasiti sebenar Stadium Nasional iaitu lebih 80,000 penonton.

Selain hanya individu yang sudah lengkap dua dos vaksin dibenarkan hadir, penyokong juga tidak dibenarkan makan dan minum selain perlu menjaga penjarakan fizikal di dalam stadium mengikut SOP ditetapkan.

PENYOKONG  JDT membanjiri pekarangan stadium.
PENYOKONG JDT membanjiri pekarangan stadium.

Ia sekali gus menyaksikan pemain ke-12 terpaksa mengisi 'perut' di tapak khas penjaja kenderaan saji atau 'food truck' di pekarangan stadium sebelum memasuki 'gelanggang final' apabila pintu stadium dibuka jam 5 petang.

Biarpun pelbagai kebiasaan baharu terpaksa ditempuhi, Stadium Nasional tetap bergema dengan sorakan dan dihiasai dengan pelbagai gelagat penyokong kedua-dua pasukan.

Hasil tinjauan Arena Metro turut menyaksikan penyokong mula membanjiri pekarangan stadium seawal jam 3 petang dengan rata-rata sudah beratur panjang untuk memasuki venue.

Namun sehingga jam 6 petang tadi, kehadiran penyokong Kuala Lumpur masih lagi tidak kelihatan sekali gus menimbulkan persoalan ke mana perginya mereka.

Selain daripada kehadiran penyokong kedua-dua pasukan, final itu turut diserikan dengan persembahan praperlawanan oleh penyanyi terkenal, Datuk Hattan dan pancaragam Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta penampilan khas lagenda bola sepak Malaysia termasuk Datuk Jamal Nasir Ismail, Datuk Santokh Singh, Datuk Soh Chin Ann dan Datuk M Karathu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 6:46 PM