Firdaus Hashim melaporkan dari Doha dan Qatar


Doha: Biarpun menyedari peluang skuad negara untuk layak ke pusingan kalah mati Piala Asia sudah tertutup, namun sebahagian ekor Harimau Malaya tetap bersemangat untuk memberi sokongan.

Malaysia sudah pun tersingkir dan aksi terakhir Kumpulan E berdepan gergasi Asia, Korea Selatan di Stadium Al Janoub di sini hari ini hanyalah untuk melengkapkan jadual pertandingan.

Bagi seorang penyokong negara, Faiz Bashir, dia tetap hadir meskipun menyedari peluang untuk menumbangkan bekas juara dua kali Piala Asia itu cukup sukar.

"Saya sebelum ini ke Itali atas beberapa urusan. Saya tahu pasukan Malaysia akan bermain menentang Korea Selatan, jadi saya mengambil keputusan untuk singgah di Qatar untuk memberi sokongan.

FAIZ Bashir (kanan) hadir memberi sokongan kepada Harimau Malaya. FOTO FIRDAUS HASHIM
FAIZ Bashir (kanan) hadir memberi sokongan kepada Harimau Malaya. FOTO FIRDAUS HASHIM

"Walaupun kita dah terkeluar bagi saya peluang berada di sini dan melihat pasukan kita bermain di tahap tertinggi ini jarang berlaku. Kita pun dah lama tak layak, jadi saya tak mahu lepaskan peluang menonton perlawanan Malaysia," katanya yang berasal dari Semenyih, Selangor.

Tinjauan Arena Metro di perkarangan stadium mendapati suasana penyokong Malaysia tidak semeriah aksi ketika bertemu Bahrain, Sabtu lalu.

Dianggarkan hampir 200 penyokong Harimau Malaya hadir berbanding 5,000 sebelum ini.

Perjuangan anak buah Kim Pan-gon di atas padang bakal dibantu paluan gendang dan nyanyian daripada kumpulan penyokong Ultras Malaya yang tetap setia berdiri di belakang pasukan.

PENYOKONG Harimau Malaya mula memenuhi tempat duduk menjelang aksi antara Harimau Malaya dan Korea Selatan di Stadium Al Janoub. FOTO FIRDAUS HASHIM
PENYOKONG Harimau Malaya mula memenuhi tempat duduk menjelang aksi antara Harimau Malaya dan Korea Selatan di Stadium Al Janoub. FOTO FIRDAUS HASHIM

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2024 @ 7:22 PM