Faizul Azlan Razak

Kuala Nerus: Seramai 20,000 penyokong dijangka hadir pada perlawanan persahabatan antarabangsa antara Harimau Malaya menentang Kepulauan Solomon di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Rabu ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman berkata, pihaknya yakin penyokong akan datang ke stadium menyaksikan perlawanan dan menyokong skuad bimbingan Kim Pan-gon.

Beliau berkata, setakat ini hampir 5,000 tiket sudah terjual dan berharap penjualan tiket akan bertambah pada baki dua hari sebelum perlawanan.

"Setakat ini, hampir 5,000 tiket terjual dan kami menjangkakan sekurang-kurangnya 20,000 penyokong akan menyaksikan perlawanan menentang Kepulauan Solomon, Rabu ini.

"Malah, kami jangkakan penyokong membeli tiket pada saat-saat akhir terutama pada hari perlawanan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Festival Harimau Malaya di sini, hari ini.

NOOR Azman (berdiri, tengah) bergambar bersama penaja pada Sidang Media Bersama Penaja Sempena Festival Harimau Malaya (FHM) Terengganu 2023 di Kuala Nerus, hari ini. FOTO GHAZALI KORI
NOOR Azman (berdiri, tengah) bergambar bersama penaja pada Sidang Media Bersama Penaja Sempena Festival Harimau Malaya (FHM) Terengganu 2023 di Kuala Nerus, hari ini. FOTO GHAZALI KORI

Noor Azman berkata, pihaknya berharap pelbagai program dan acara yang diatur dapat menarik kehadiran penyokong Harimau Malaya ke stadium.

Mengulas lanjut Festival Harimau Malaya, beliau berkata, pelbagai acara menarik diadakan selama tujuh hari bermula 14 hingga 20 Jun ini.

"Antaranya termasuk perlawanan amal bekas pemain kebangsaan dan Terengganu seperti Hairuddin Omar, Ashaari Samsuddin, Norhisham Hassan dan Norfarhan Mohamad.

"Selain itu, ziarah kasih bekas pemain Olimpik 1972, Harun Jusoh, Harimau Malaya Night, Rembat Challenge, Jualan Al-Ikhsan, kejohanan bola sepak kanak-kanak dan remaja, cabaran streets soccer, cabaran penalti dan cabaran E-Sport," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2023 @ 5:54 PM