Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Bimbang tempat duduk di dalam Stadium Nasional, Bukit Jalil (SNBJ) 'dirembat' orang lain menyebabkan terdapat penyokong Harimau Malaya sanggup terpacak seawal 12 tengah hari di venue keramat itu.

Ini kerana mereka tidak mahu lagi 'pisang berbuah dua kali' apabila tiada tempat duduk sehingga terpaksa berdiri lebih 90 minit bagi menyaksikan perlawanan membabitkan pasukan negara.

Malah, pengorbanan penyokong Harimau Malaya tidak terhenti di situ apabila mereka sanggup pula beratur lebih dua jam sebelum dibenarkan masuk pada 4 petang.

Penyokong Harimau Malaya Nurjannah Abdul Aziz dari Mersing, Johor, berkata, pengalaman 'kehilangan' tempat duduk pada perlawanan membabitkan Harimau Malaya sebelum ini menyebabkan dia tekad datang awal ke SNBJ.

"Selain cuaca mungkin hujan hari ini, saya nak pastikan ada tempat duduk di dalam stadium memandangkan sistem nombor yang digunakan tidak dipatuhi penyokong lain.

"Saya sering hadir ke stadium memberi sokongan kepada skuad Harimau Malaya dan Johor Darul Ta'zim (JDT). Jika masuk lewat pasti tiada lagi tempat duduk," katanya yang menjangkakan Malaysia meraih kemenangan 3-1 ke atas Thailand pada aksi separuh akhir pertama Piala AFF, malam ini.

NURJANNAH (kiri) dan Nurdianah sanggup beratur awal untuk masuk ke SNBJ bagi mengelak tempat duduk dirembat penyokong lain. FOTO SYAZWAN MSAR
NURJANNAH (kiri) dan Nurdianah sanggup beratur awal untuk masuk ke SNBJ bagi mengelak tempat duduk dirembat penyokong lain. FOTO SYAZWAN MSAR

Sementara itu, Nurdianah Nazura Zamri dari Merlimau, Melaka, memaklumkan walaupun terpaksa 'bersidai' dalam tempoh lama apabila tiba di SNBJ pada 2 petang, dia tidak perlu serabut dengan kesesakan lalu lintas serta limpahan penyokong pasukan kebangsaan.

"Lebih baik menunggu di perkarangan stadium daripada perlu berdepan kesesakan lalu lintas dan akhirnya kehilangan tempat duduk apabila mahu menyaksikan skuad Harimau Malaya beraksi," katanya.

Terdahulu, skuad Harimau Malaya melepasi halangan peringkat kumpulan selepas melakar kemenangan 4-1 menumpaskan Singapura, sekali gus menebus kegagalan edisi lalu apabila terkandas di pusingan awal.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia menamatkan saingan Kumpulan B di tangga kedua dan mara ke separuh akhir bertemu juara Kumpulan A, Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2023 @ 5:10 PM