ANGGOTA bomba menjalankan operasi mengeluarkan dua lelaki yang tersepit. FOTO Ihsan Bomba Perak
ANGGOTA bomba menjalankan operasi mengeluarkan dua lelaki yang tersepit. FOTO Ihsan Bomba Perak
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Dua lelaki maut apabila kereta dinaiki terbabas sebelum terjunam ke dalam longkang besar dalam insiden berhampiran Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya, di sini, hari ini.

Bagaimanapun ketika kejadian yang mengorbankan R Dhaarnish, 29, serta seorang lagi mangsa yang belum dapat dikenal pasti itu, paras air longkang berkenaan terlalu cetek.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 5.19 pagi.

"Nahas membabitkan sebuah Honda Accord yang terbabas ke dalam parit (longkang besar) berhadapan BBP Meru Raya menyebabkan pemandu dan penumpang kereta tersepit.

"Mangsa disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai perubatan. Mayat kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini selain menambah bahawa operasi tamat jam 7.44 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2023 @ 8:16 AM