KEMALANGAN maut yang membabitkan seorang anggota PPDA dari BBP Pengkalan Kubor di Kampung Jal Besar, di sini. FOTO ihsan PEMBACA
KEMALANGAN maut yang membabitkan seorang anggota PPDA dari BBP Pengkalan Kubor di Kampung Jal Besar, di sini. FOTO ihsan PEMBACA
Siti Rohana Idris


Tumpat: Selepas 20 jam bertarung nyawa, seorang anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Kubor yang terbabit kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke tempat kerja semalam menghembuskan nafas terakhir hari ini.

Mohd Mohaimi Mohammad, 35, meninggal dunia pada jam 4.42 pagi ini di Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM), Kubang Kerian.

Ketua BBP Pengkalan Kubor, Anuar Yaacob berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.46 petang semalam mangsa menunggang motosikal Yamaha NVX 155 dari rumahnya di Rantau Panjang untuk ke Pengkalan Kubor.

"Nahas berlaku di Kampung Jal Besar apabila mangsa yang mengelak sebuah kereta yang keluar dari lorong merempuh motosikal yang lain.

"Mangsa terjatuh ke dalam longkang yang dipenuhi air dan segera dibawa ke hospital sehingga paru-parunya yang dipenuhi air juga terpaksa ditebuk," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Anuar berkata, arwah yang sudah 18 tahun bertugas sebagai anggota bomba disifatkan seorang yang cemerlang dalam penugasan terutama membabitkan pengendalian bot.

"Arwah seorang yang sangat komited dengan tugas dan sebagai seorang anggota PPDA, dia memang bagus dalam penugasan menyelamatkan mangsa dan mahir mengendalikan bot penyelamat," katanya sambil memberitahu tiada sebarang perubahan ditunjukkan arwah.

Allahyarham meninggalkan tiga cahaya mata dan seorang balu yang sedang sarat mengandung dan menunggu masa untuk bersalin.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Sangkut, Pasir Mas selepas solat Jumaat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2023 @ 3:12 PM