ANTARA Pati yang cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas ke dalam parit ketika dikejar polis di Kunci Air Kuala Selangor, Jalan Kereta Api Lama, hari ini. FOTO IHSAN BOMBA
ANTARA Pati yang cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas ke dalam parit ketika dikejar polis di Kunci Air Kuala Selangor, Jalan Kereta Api Lama, hari ini. FOTO IHSAN BOMBA
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Cubaan melarikan diri sebaliknya membawa padah apabila kereta dinaiki lima pendatang asing tanpa izin (PATI) terhumban masuk ke dalam parit di Kunci Air Kuala Selangor, Jalan Kereta Api Lama, di sini.

Dalam kejadian kira-kira 5.15 pagi tadi, semua pendatang haram terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia 30-an dipercayai tidak mempunyai dokumen sah memasuki negara ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada jam 5.19 pagi.

Beliau berkata, sepasukan enam anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, kami mendapati sebuah kereta terbabas ke dalam parit ketika dikejar anggota polis.

"Semua mangsa berjaya keluar dari dalam kenderaan. Mereka terpaksa duduk di atas bumbung kereta sementara menunggu bantuan bomba," katanya semalam.

Norazam berkata, kelima-lima pendatang asing itu kemudian berjaya dibawa naik ke tebing parit.

"Dua wanita didapati patah kaki manakala seorang lelaki cedera pada bahu.

"Anggota bomba segera memberikan rawatan awal kepada mangsa. Mangsa seterusnya diserahkan kepada polis untuk dibawa ke hospital dengan menggunakan trak polis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Jun 2022 @ 3:54 PM