KEADAAN trak tentera dan lori muatan pasir yang terbabit nahas di Plaza Tol Bukit Beruntung, hari ini.  FOTO Ihsan Polis
KEADAAN trak tentera dan lori muatan pasir yang terbabit nahas di Plaza Tol Bukit Beruntung, hari ini. FOTO Ihsan Polis
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Masalah brek ketika cuba memberhentikan kenderaan dipercayai menjadi punca sebuah trak tentera merempuh lori muatan pasir di Plaza Tol Bukit Beruntung, di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus berkata, pihaknya menerima laporan berhubung nahas itu pada 10.15 pagi.

"Siasatan awal mendapati lori dalam perjalanan dari Tol Tanjung Malim ke Bukit Beruntung untuk menghantar pasir, sementara trak tentera dari Sungai Besi ke Kem Tentera Kuala Kubu Bharu.

"Nahas dipercayai berlaku apabila pemandu lori berusia 47 tahun sedang membayar tol sebelum kenderaannya dilanggar dari arah belakang," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Mohd Asri berkata, pemandu trak tentera berusia 24 tahun cedera ringan dan dibawa ke Hospital Selayang.

"Beliau menerima rawatan sebagai pesakit luar. Pemandu lori muatan pasir pula tidak cedera.

"Siasatan dijalankan mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59)," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil untuk membantu siasatan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata sepasukan enam anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan berhubung kemalangan itu.

Beliau berkata, anggota bomba mengambil masa selama kira-kira lima minit untuk membawa keluar mangsa yang sebelum itu tersepit hampir 30 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2024 @ 10:46 PM