SITI Bainun tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
SITI Bainun tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Faris Fuad


Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, membenarkan permohonan pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali untuk menangguhkan perbicaraan bela diri selama dua hari bermula esok.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, berkata penangguhan itu sementara menunggu keputusan bantahan awal pendakwaan terhadap permohonan semakan oleh Siti Bainun, atas pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down dikenali Bella.

"Saya tetapkan 13 Januari ini untuk keputusan bantahan awal terbabit," katanya.

Terdahulu, peguam bela Siti Bainun, P G Cyril berkata, hakim mempunyai budi bicara untuk menerima semakan itu atau sebaliknya.

"Kami bergantung kepada hujahan bertulis yang difailkan membabitkan alasan permohonan berkenaan.

"Pembelaan juga perlu memaklumkan perkembangan kes di Mahkamah Sesyen hari ini kerana bicara bela diri mula esok, sebab itu kami mohon ia digantung sementara," katanya.

Susulan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, membantah penangguhan itu mengikut afidavit jawapan difailkan sebelum ini.

"Kami sudah serahkan salinan hujahan bertulis dan ia sama seperti afidavit difailkan," katanya.

Sementara itu, Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi, ketika sebutan kes melapangkan perbicaraan bela diri oleh Siti Bainun pada hari terbabit, susulan kebenaran oleh Mahkamah Tinggi.

Izralizam kemudian menetapkan 13 Januari ini iaitu tarikh keputusan bantahan terbabit bagi pihak pendakwaan dan pembelaan memaklumkan mengenai perkembangan perkara itu.

"Pihak-pihak boleh datang ke Mahkamah Sesyen selepas selesai prosiding di Mahkamah Tinggi. Pada 16 Januari ini adalah tarikh terdekat untuk bicara bela diri selepas 6 Januari.

"Semua pihak juga perlu memaklumkan kepada mahkamah mengenai lima isu termasuk panggil semula saksi pendakwaan, panggil saksi lain yang ditawarkan oleh pendakwaan kepada pembelaan dan pernyataan saksi Siti Bainun.

"Saksi dipanggil semula membabitkan penghuni Rumah Bonda, Yasmin Nahar Mahmood; pakar bedah plastik; Dr Salmi Mohamed Shukur dan Asisten Superintendan Rohaini Baharom dari Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL), pihak-pihak perlu muktamadkan saksi demikian," katanya.

Pada 9 Disember lalu, Mahkamah Sesyen menetapkan tarikh perbicaraan bela diri terbabit selama 25 hari iaitu 5, 6, 16 hingga 20, 26 dan 27 Januari (sembilan hari) diikuti 20 hingga 24, 27 dan 28 Februari (tujuh hari) dan 6 hingga 10, 27 hingga 30 Mac (sembilan hari).

Seorang lagi peguam mewakili Siti Bainun, Nur'Aminahtul Mardiah Md Nor pula dilaporkan mengesahkan bantahan awal yang difailkan oleh pendakwaan pada 1 Disember lalu diserahkan kepada pembelaan empat hari selepas itu.

Dalam notis usul difailkan pada 30 November lalu dengan menamakan Pendakwa Raya selaku responden, Siti Bainun memohon untuk menyemak dua pertuduhan.

Ia kerana Hakim Mahkamah Sesyen, didakwa tidak mempertimbangkan isu berkenaan pertuduhan itu yang disifatkan defektif atau cacat dan prejudis ketika memerintahkan pengasas Rumah Bonda itu membela diri.

Siti Bainun selaku pemohon, mendakwa perintah hakim itu untuk memanggilnya membela diri pada 24 November lalu, adalah batal dan tidak sah kerana gagal menilai kecacatan pertuduhan dalam penghakiman yang dibacakan di mahkamah terbuka pada hari berkenaan.

Siti Bainun diarah membela diri terhadap pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari hingga Jun 2021.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 28 Oktober lalu, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 22 saksi pada perbicaraan kes itu yang bermula 30 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2023 @ 2:04 PM