SITI Bainun. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
SITI Bainun. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun terhadap pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, kerana mengabai serta menganiaya seorang remaja perempuan Sindrom Down dikenali sebagai Bella, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Noorin Badaruddin membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Siti Bainun, 32, selaku perayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Noorin turut menolak permohonan peguam Haijan Omar yang mewakili Siti Bainun untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan berhubung keputusan hari ini difailkan di Mahkamah Rayuan.

Dalam penghakimannya hari ini, Noorin berkata, terdapat 18 kecederaan dan parut pada badan mangsa dibuktikan oleh kesemua saksi perubatan bahawa kecederaan itu adalah bukan kemalangan atau perbuatan mangsa sendiri (Bella).

"Mahkamah berpuas hati penilaian secara maksimum dilakukan oleh hakim Mahkamah Sesyen terhadap saksi pendakwaan iaitu saksi mata, Yasmin Nahar Mahmood (bekas penghuni Rumah Bonda) iaitu saksi pendakwaan kelima (SP5), keterangannya disokong oleh saksi perubatan yang juga saksi-saksi pakar yang memeriksa mangsa," katanya.

Menurut Noorin, selain keterangan daripada SP5, keterangan SP8, Suhana Zam (rakan baik Siti Bainun) turut disokong oleh keterangan perubatan yang secara konsisten mendapati kecederaan dialami mangsa bukan kemalangan.

Oleh itu beliau berkata, mahkamah mendapati adalah sukar untuk membuat dapatan bahawa kedua-dua saksi ini mereka-reka cerita terhadap perayu.

Noorin berkata, mangsa adalah kanak-kanak istimewa dan keterangan saksi pendakwaan secara keseluruhannya melengkapkan naratif kes pendakwaan bahawa mangsa diabaikan dan dianiaya sehingga mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Beliau berkata, mahkamah mendapati pembelaan perayu bahawa mangsa hanya mengalami sekali kelecuran sahaja adalah berlawanan dengan naratif dan keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan.

Menurut hakim itu, saksi pakar mengatakan bahawa hasil pemeriksaan ke atas mangsa mendapati kecederaan dialami bukan kecederaan yang terhasil oleh satu insiden sahaja dan berlaku pada masa-masa yang berbeza kerana terdapat kecederaan yang sudah sembuh.

Noorin berkata, keterangan yang diberikan oleh saksi pakar ini adalah konsisten sedangkan keterangan perayu dan saksi perayu mengenai insiden tumpahan air panas yang dikatakan berlaku hanya sekali sahaja ke atas mangsa adalah bercanggah.

"Mahkamah mendapati hampir kesemua alasan yang diberikan oleh perayu dalam petisyennya ulangan kepada isu-isu yang ditimbulkan semasa perbicaraan di Mahkamah Sesyen. Mahkamah mendapati, isu yang ditimbulkan oleh perayu dan pembelaan perayu tidak dapat menimbulkan keraguan munasabah ke atas intipati pertuduhan dihadapinya," kata hakim itu.

Noorin berkata, berdasarkan nota keterangan, mahkamah mendapati tidak terdapat sebarang keterangan dan keadaan yang menunjukkan perayu terkeliru dengan pertuduhan-pertuduhan dihadapinya yang mengakibatkan perayu tidak berupaya untuk membela diri.

Katanya, mahkamah mendapati perayu diberikan notis mencukupi melalui pertuduhan yang dikemukakan sejak dari awal dan dia berupaya memahami 'the nature of the case' mengenai bagaimana kesalahan itu dilakukan.

Menurut hakim, melalui keterangan dikemukakan dan pemeriksaan balas yang panjang terhadap saksi-saksi pendakwaan menzahirkan perayu tahu dan tidak terkeliru serta faham bahawa pertuduhan terhadapnya adalah pengabaian dan penganiayaan yang dilakukan olehnya secara fizikal dan emosi terhadap Bella.

"Mahkamah juga berpuas hati bahawa melalui pemeriksaan balas saksi-saksi pendakwaan, perayu sama sekali tidak diprejudiskan dengan pertuduhan-pertuduhan yang dikemukakan sama ada sebelum atau selepas dipinda oleh hakim Mahkamah Sesyen," katanya.

Siti Bainun yang berjubah putih dan bertudung hijau muda dilihat tenang semasa berada dalam kandang tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Kedua-dua pertuduhan itu mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.

Mahkamah turut memerintahkan Siti Bainun menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM5,000.

Dia juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria dan Analia Kamaruddin manakala Haijan dibantu peguam Nur A'minahtul Mardiah Md Noor dan Nurul Hafidzah Hassan.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2024 @ 10:32 AM