SITI Bainun.
SITI Bainun.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Mahkamah Sesyen membenarkan permohonan penangguhan perbicaraan bela diri pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali atas pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan Sindrom Down dikenali Bella kerana masalah kesihatan.

Hakim Izralizam Sanusi membuat keputusan itu selepas meneliti semua dokumen kesihatan dikemukakan pihak peguam Siti Bainun untuk kes bela diri itu ditangguh.

Bagaimanapun, penangguhan itu hanya dibenarkan sehingga Rabu ini yang akan ditukar kepada sebutan kes untuk mendapat pengesahan dokumen kesihatan Siti Bainun.

"Hari ini ditetapkan untuk bicara sehingga 9 Disember ini bagi pihak pembelaan namun saya dapati pihak pembelaan memfailkan surat penangguhan untuk tarikh perbicaraan bela diri terbabit.

"Berdasarkan surat itu, tertuduh dimasukkan ke wad kerana Pneumonia (radang paru-paru) dan dikatakan turut menjalani pembedahan hempedu seperti yang dinyatakan dalam surat itu," katanya.

Terdahulu, peguam bela Siti Bainun, Nur 'Aminahtul Mardiah Md Nor, berkata, prosiding perlu ditangguhkan kerana pengasas Rumah Bonda itu perlu menjalani dua pembedahan bulan ini.

"Pembedahan membabitkan penyakit paru-paru dan hempedu dijadualkan masing-masing pada kelmarin serta Khamis ini.

"Namun, tiada pembedahan dilakukan pada kelmarin, kerana Siti Bainun diberikan antibiotik akibat saluran pernafasan tersumbat. Saya percaya akan ada tarikh baharu berhubung dua pembedahan itu," katanya.

Nur 'Aminahtul turut menyatakan anak guamnya dimasukkan ke wad sejak 28 November lalu.

"Anak guam saya juga perlu berpuasa dan esok akan menjalani ujian abdomen dan darah sebelum dapat ditentukan tarikh baharu pembedahan," katanya.

Dalam pada prosiding sama, Mahkamah Sesyen turut menolak permohonan Siti Bainun untuk menggantung bicara bela diri itu.

Izralizam memutuskan demikian selepas mendapati permohonan Siti Bainun adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah.

"Kesimpulannya saya dapati tiada keadaan khas atau istimewa dalam kes ini dan tindakan permohonan bagi penggantungan prosiding di mahkamah ini bagi kes ini adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah. Oleh demikian permohonan pemohon (Siti Bainun) adalah dengan ini ditolak," katanya.

Harian Metro pada 24 November lalu melaporkan, Siti Bainun diarahkan membela diri terhadap dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan Sindrom Down berusia 13 tahun itu.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh perbicaraan untuk membela diri bermula 5 hingga 9 Disember ini dan lima saksi pembelaan akan dipanggil bagi memberi keterangan termasuk Siti Bainun.

Pada 28 Oktober lalu, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 22 saksi pada perbicaraan kes itu yang bermula 30 Mac lalu.

Pengasas Rumah Bonda itu didakwa melakukan perbuatan terbabit di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari hingga Jun 2021.

Pendakwaan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Disember 2022 @ 4:19 PM