SITI Bainun.
SITI Bainun.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, menolak permohonan menangguh perbicaraan bela diri pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali atas pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom down dikenali Bella.

Hakim Izralizam Sanusi membuat keputusan itu selepas mendapati permohonan itu adalah penyalahgunaan proses mahkamah.

Terdahulu, pihak pembelaan Siti Bainun membuat permohonan atas alasan perlu menunggu pendengaran semakan notis usul terhadap pertuduhan itu di Mahkamah Tinggi, pada Khamis ini.

Izralizam berkata, pertuduhan terbabit juga tidak cacat dan memprejudiskan tertuduh, justeru dakwaan tertuduh bahawa beliau tidak mempertimbangkan pertuduhan itu tidak berasas dan mengelirukan.

"Kesimpulannya saya dapati tiada keadaan khas atau istimewa dalam kes ini dan tindakan permohonan bagi penggantungan prosiding di mahkamah ini bagi kes ini adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah.

"Oleh demikian permohonan pemohon (Siti Bainun) adalah dengan ini ditolak," katanya.

Beliau berkata, peguam ada meminta penangguhan atas alasan kesihatan tertuduh yang dimasukkan ke wad pada 28 November lalu, manakala 3 Disember dan lima hari selepas itu, tertuduh akan menjalani pembedahan.

Bagaimanapun, katanya, surat bertarikh 2 Disember diserahkan kepada mahkamah tidak memaklumkan mengenai pembedahan dilakukan.

"Saya memerlukan penjelasan untuk menggunakan budi bicara untuk penangguhan.

"Tiada dokumen dan sijil cuti sakit (MC) tetapi ada pengesahan surat masuk wad akibat masalah kesihatan. Selanjutnya saya memerlukan dokumen dan penjelasan lanjut daripada peguam, maka prosiding berkaitan itu bersambung jam 2.30 petang ini," katanya.

Peguam bela Siti Bainun Nur 'Aminahtul Mardiah Md Nor berkata, prosiding perlu ditangguhkan kerana pengasas Rumah Bonda itu perlu menjalani dua pembedahan bulan ini.

"Pembedahan membabitkan penyakit paru-paru dan hempedu dijadualkan masing-masing pada kelmarin serta Khamis ini.

"Namun, tiada pembedahan dilakukan pada kelmarin kerana Siti Bainun diberikan antibiotik akibat saluran pernafasan tersumbat. Saya percaya akan ada tarikh baharu berhubung dua pembedahan itu.

"Semakan notis usul pula akan didengar di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah pada Khamis ini, tanpa kehadiran Siti Bainun," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad membantah permohonan itu mengikut notis usul yang difailkan melalui afidavit jawapan pada Jumaat lalu.

"Pihak responden (pendakwaan) sudah menjawab dan kami bergantung kepada afidavit jawapan untuk bantah penangguhan berkenaan yang bersifat remeh, mengaibkan, menyusahkan serta bertujuan melengah-lengahkan perbicaraan kes," katanya.

Harian Metro pada 24 November lalu melaporkan, Siti Bainun diarahkan membela diri terhadap dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom down berusia 13 tahun itu.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh perbicaraan untuk membela diri bermula 5 hingga 9 Disember ini dan lima saksi pembelaan akan dipanggil bagi memberi keterangan termasuk Siti Bainun.

Pada 28 Oktober lalu, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 22 saksi pada perbicaraan kes itu yang bermula 30 Mac lalu.

Pengasas Rumah Bonda itu didakwa melakukan perbuatan terbabit di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari hingga Jun 2021.

Pendakwaan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Disember 2022 @ 2:19 PM