Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, membenarkan permohonan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali untuk menangguhkan sementara perbicaraan bela diri.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menetapkan penangguhan itu sementara menunggu keputusan bantahan awal oleh pendakwaan terhadap permohonan Siti Bainun supaya pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan Sindrom Down dikenali Bella disemak semula.

Beliau menetapkan 13 Januari ini untuk keputusan permohonan bantahan terbabit.

Terdahulu, peguam bela Siti Bainun, P G Cyril berkata, hakim mempunyai budi bicara untuk menerima permohonan berkenaan atau sebaliknya.

"Kami bergantung kepada hujahan bertulis yang difailkan membabitkan alasan permohonan itu.

"Pembelaan juga perlu memberi perkembangan kes ini di Mahkamah Sesyen hari ini kerana bicara bela diri bermula esok dan lusa (Jumaat) sebab itu kami mohon ia digantung sementara," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad membantah penangguhan itu kerana sudah menyerahkan salinan hujahan bertulis dan sama seperti afidavit difailkan.

SITI Bainun tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
SITI Bainun tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Sementara itu di Mahkamah Sesyen, Hakim Izralizam Sanusi menerima penangguhan dan melapangkan tarikh perbicaraan bela diri yang ditetapkan esok serta Jumaat ini.

"Memandangkan terdapat perintah penangguhan perbicaraan dan prosiding digantung sehingga keputusan, maka saya tiada pilihan kecuali melapangkan perbicaraan selaras perintah Mahkamah Tinggi itu.

"Mahkamah (Sesyen) juga ambil maklum Mahkamah Tinggi menetapkan keputusan pada 13 Januari, maka saya tetapkan pengurusan kes pada tarikh sama selepas selesai keputusan di Mahkamah Tinggi," katanya.

Pada 9 Disember lalu, Mahkamah Sesyen menetapkan tarikh perbicaraan bela diri selama 25 hari pada 5, 6, 16 hingga 20, 26 dan 27 Januari; diikuti 20 hingga 24, 27 dan 28 Februari serta 6 hingga 10, 27 hingga 30 Mac.

Pada tarikh sama, Siti Bainun memberikan sijil cuti sakit (MC) selama 22 hari berakhir 19 Disember lalu.

Siti Bainun dijangkiti bakteria yang memerlukan pengambilan antibiotik selama 15 hari sebelum menjalani pembedahan hempedu hasil prosedur perubatan diagnostik atau endoskopi dan ujian darah di hospital.

Pada 24 November lalu, Mahkamah Sesyen memerintahkan pengasas Rumah Bonda itu membela diri terhadap dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari hingga Jun 2021.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2023 @ 1:19 PM