SITI Bainun Ahd Razali. FOTO Eizairi Shamsudin.
SITI Bainun Ahd Razali. FOTO Eizairi Shamsudin.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali untuk semakan keputusan Mahkamah Sesyen bagi membenarkannya membela diri atas pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja sindrom Down berusia 13 tahun, yang dikenali sebagai Bella.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan terhadap permohonan semakan Siti Bainun.

Mahkamah juga menolak permohonan peguam P.G. Cyril yang mewakili Siti Bainun untuk menangguhkan prosiding membela diri sementara menunggu rayuan terhadap keputusan hari ini di Mahkamah Rayuan.

Oleh itu, Siti Bainun, 31, perlu membela diri atas pertuduhan pada 16 Januari selepas prosiding ditangguhkan beberapa kali.

Dalam permohonan yang difailkan pada 30 November tahun lalu, Siti Bainun memohon perintah Hakim Mahkamah Sesyen untuk memanggilnya membela diri pada 24 November tahun lalu adalah batal dan tidak sah kerana gagal menilai kecacatan pertuduhan-pertuduhan di dalam penghakiman yang dibacakan di mahkamah terbuka pada hari berkenaan (24 November).

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, Hakim Izralizam Sanusi menetapkan prosiding bela diri Siti Bainun bermula 16 Januari ini, selepas Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas memaklumkan mengenai keputusan Mahkamah Tinggi hari ini.

"Saya membenarkan 16 saksi pembelaan memberi keterangan pada perbicaraan ini dan seramai 11 saksi pembelaan termasuk tertuduh, empat saksi yang ditawarkan pendakwaan dan seorang saksi pendakwaan yang dipanggil semula selepas memberi keterangan di mahkamah. "Tertuduh (Siti Bainun) akan menjadi saksi pertama yang akan memberi keterangan," kata Izralizam.

Peguam M. Yallini yang mewakili Siti Bainun berkata, pihaknya sudah memfailkan senarai saksi pembelaan dan pernyataan saksi (Siti Bainun) semalam (12 Januari).

Pada 4 Januari, Hakim Sequerah membenarkan permohonan pembelaan untuk menangguhkan prosiding bela diri Siti Bainun yang dijadualkan pada 5 dan 6 Januari sehingga bantahan awal pendakwaan diputuskan oleh mahkamah hari ini.

Pada 5 Disember lalu, Izralizam membenarkan permohonan sama yang sepatutnya bermula pada tarikh sama (5 Disember) kerana wanita itu dimasukkan ke wad akibat radang paru-paru manakala pada 7 Disember, prosiding bela diri ditangguhkan sekali lagi apabila Siti Bainun diberi sijil cuti sakit (MC) selama 22 hari bermula 28 November lalu kerana masalah kesihatan.

Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom down berusia 13 tahun itu, sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2023 @ 6:59 PM