Nur Najwa bersama Fuziah ketika majlis pembukaan kedai kek Bake With Wawa di Indera Mahkota 7, Kuantan. FOTO Khairulmizan Yahya.
Nur Najwa bersama Fuziah ketika majlis pembukaan kedai kek Bake With Wawa di Indera Mahkota 7, Kuantan. FOTO Khairulmizan Yahya.
Khairulmizan Yahya

Kuantan: "Untuk mencapai impian diri, kita perlu berusaha seperti kata pepatah 'pengayuh sayang dibasahkan, sampan tidak akan sampai ke seberang'.

"Saya bermula dengan belajar resipi kek di internet, namun hasil kerja keras, akhirnya kini saya mampu membuka kedai kek sendiri," kata Nur Najwa Hamdan, 30, pemilik kedai kek Bake With Wawa di Indera Mahkota 7, di sini.

Katanya, selepas beberapa percubaannya membuat kek dan biskut menggunakan resipi dari internet tidak berjaya, dia kemudian mengikuti kelas berbayar.

"Waktu itu saya masih menuntut di Politeknik Sultan Ahmad Shah dalam jurusan Diploma Sains Kesetiausahaan iaitu pada tahun 2015.

"Hasil dari kelas yang diambil, saya mula berniaga kek dan biskut di kampus pada semester ketiga dan menjualnya melalui media sosial selain rakan-rakan dan pensyarah," katanya.

Katanya, selepas tamat belajar, dia pernah menerima tawaran pekerjaan dalam kerajaan namun terpaksa menolaknya kerana lebih berminat untuk menjadi usahawan bakeri.

"Selepas mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan, saya mengembangkan perniagaan dengan membuka mini bakeri di garaj rumah di Bukit Rangin, di sini, namun usaha saya terbantut selepas semuanya musnah akibat banjir pada November dua tahun lalu.

"Saya hampir berputus asa namun disebabkan minat yang mendalam, saya terus berusaha sehinggalah saya mampu membuka kedai bakeri serta mengupah enam pekerja untuk membantu," katanya.

Katanya, dia turut melantik 35 ejen secara sambilan dari dalam dan luar negeri ini untuk membantunya dalam pemasaran produk.

"Dalam tempoh tiga tahun ini, saya berjaya menjual kira-kira 17,000 unit kek dan biskut dengan anggaran nilai sebanyak RM680,000," katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, Nur Najwa adalah antara 26,724 wanita yang terbabit dalam industri bakeri di seluruh negara yang berdaftar dibawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

"KPDN akan sentiasa membantu usahawan terutama yang berdaftar dengan SSM melalui pelbagai inisiatif termasuk kursus dan program e-dompet," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2023 @ 6:23 PM