Oleh Hajahfarhana Tarmudi


Setiap orang dianugerahkan bakat yang berbeza. Namun, ia perlu diasah dengan ilmu bagi memantapkan lagi kemahiran dimiliki sekali gus memberi kebaikan kepada diri dan keluarga.

Kemahiran dimiliki bukan hanya membantu diri dan keluarga, malah mampu menambah pendapatan terutama kepada individu yang bergelar suri rumah.

Fathatun Najwa Mohamed Suffian, 29, begitu meminati dunia bakeri dan sudah terbabit dengan pembuatan kuih serta kek sejak zaman persekolahan lagi.

Ketika itu, dia hanya membantu emak dan arwah nenek menyiapkan tempahan biskut raya. Itu dianggap bonus kepada dirinya untuk mempelajari teknik dan resipi biskut raya yang menjadi kegemaran pelanggan tetap ibunya.

"Saya memilih bidang ini kerana tidak mahu mensia-siakan kemahiran dimiliki ditambah dengan minat yang mendalam walaupun memiliki diploma perniagaan.

"Saya juga menambah ilmu dengan mengikuti kelas berkaitan walaupun sebelum ini banyak belajar membuat kuih tradisional dan moden daripada arwah nenek serta ibu," katanya.

Tambahnya, dia tidak akan berhenti mengejar apa saja ilmu terutama dalam bidang bakeri kerana setiap guru mempunyai teknik berbeza.

Bukan kelas saja, malah dia juga sering berkongsi ilmu dan teknik bersama rakan lain yang menjalankan perniagaan sama walaupun mereka adalah pesaingnya.

Ujarnya, sejak pertengahan Ramadan lalu dia mula menjadikan kerja membuat kuih dan biskut sebagai karier selepas menerima banyak tempahan hingga tidak menang tangan memenuhi pesanan pelanggan.

Antara yang paling mendapat sambutan ialah kek batik jawa. Keenakan dan kelembutan teksturnya membuatkan ia menjadi tarikan kepada pelanggan untuk menempah kek ini setiap tahun. Kek ini tidak sama dengan kek batik moden kerana proses penyediaannya agak rumit, malah bahan yang digunakan juga sedikit berbeza.

Sesuai dengan sifatnya yang cerewet dalam semua perkara, jadi menyiapkan tempahan kek batik jawa yang rumit tidak menjadi masalah padanya.

Kek berkenaan menggunakan 10 bahan termasuk mentega, telur dan air sejuk. Malah, kek ini perlu dibakar terlebih dulu berbanding adunan kek batik moden yang hanya disimpan di dalam peti sejuk sebelum dimakan.

Kek ini amat istimewa bagi Fathatun Najwa kerana menggunakan resipi turun temurun yang diwarisi dari arwah nenek.

"Selain kek batik jawa, saya juga gemar membuat dan mengolah resipi untuk menghasilkan sesuatu yang enak. Misalnya, mufin mini, chocolate victoria sandwich dan kek velvet.

"Ada juga jem yang saya buat sendiri kerana mahu menjaga kualiti dan rasanya agar pelanggan berpuas hati. Saya akan cuba dan rasa terlebih dulu selain mendapatkan pandangan daripada pelanggan terhadap setiap resipi atau produk baru yang dihasilkan," katanya.

Ujarnya, selain resipi berlainan dia juga sering menyiapkan tempahan mengikut bajet dan citarasa pelanggan itu sendiri untuk memberi kepuasan diinginkan.

Produknya merangkumi semua jenis kek, kuih dan biskut tradisional mahupun moden. Dia lebih gemar menyiapkan tempahan sehari sebelum dihantar kepada pelanggan bagi mengekalkan rasa segar.

Dia bersyukur walaupun bukan musim perayaan atau perkahwinan, namun tempahan tidak pernah putus. Malah, ada juga pelanggan tetap yang menempah kuih dengannya sejak tujuh tahun lalu.

Kini, dia hanya fokus pada perniagaan secara dalam talian yang boleh dilihat menerusi https://www.facebook.com/war.touch atau http://instagram.com/war.touch.

"Saya perlu bermula dari bawah dan tidak terburu-buru mengejar keuntungan dengan menjalankan perniagaan lain pada satu masa. Selain menerima tempahan, saya juga ada mengedarkan produk ke kafeteria di sebuah stesen televisyen terkenal.

"Kadangkala, saya juga ada menerima tempahan lauk atau makanan barat seperti makaroni dan pasta dalam kuantiti yang kecil," katanya.

Tambahnya, pelanggan disarankan untuk menempah dua hari lebih awal daripada tarikh majlis atau keraian bagi mengelakkan sebarang kesulitan kepada kedua-dua pihak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Disember 2014 @ 5:00 AM