Mohd Hazli Ali Zapar membuat adunan roti. FOTO Ihsan Mohd Hazli Ali Zapar
Mohd Hazli Ali Zapar membuat adunan roti. FOTO Ihsan Mohd Hazli Ali Zapar
Rafiqah Dahali


SIAPA sangka lelaki berbadan ‘sado’ mempunyai kebolehan dalam bidang bakeri.

Mohd Hazli Ali Zapar, 31, berasal dari Penampang berkata, dia sudah lama berkecimpung dalam bidang berkenaan sejak remaja lagi.

“Saya sudah lama menceburkan diri dalam bidang bakeri ini sejak berumur 14 tahun dan ilmu ini saya pelajari dari ibu yang juga pensyarah bidang ekonomi rumah tangga dan sains makanan.

“Sekitar tahun 2003 saya juga telah mengambil tempahan untuk membuat biskut raya untuk dijual.

“Sepanjang tempoh PKP ini saya giat membuat promosi melalui laman media sosial Facebook dan saya bersyukur maklum balas daripada pelanggan adalah positif. Setakat ini antara produk saya yang mendapat permintaan tinggi adalah roti Wholemeal Protein Bread with Assorted Seeds dan biskut Sabah Dark Choc Protein Cookies (SADAP),” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, dia berharap dapat kembangkan perniagaannya dengan menghasilkan lebih banyak produk makanan sihat dengan citarasa Borneo.

Mohd Hazli yang baru memulakan perniagaan bakeri dengan jenama The Sixpack Baker turut mengusahakan pusat pentauliahan jurulatih kecergasan profesional, pusat tuisyen dan tadika.

Mengulas lanjut, Mohd Hazli berkata, dia sudah mendaftarkan syarikatnya baru-baru ini tetapi tidak sempat memulakan operasi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya mendaftar syarikat pemprosesan makanan pada Mac lalu dan merancang untuk memulakan operasi 1 April tetapi tergendala sebab PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu.

“PKP mengilhamkan saya untuk membuat resipi dengan citarasa Borneo. Saya juga sudah memulakan tempahan biskut raya seperti biskut Butod Kambazou berintikan jem buah Dabai dan Strawberry Blossom Tarts selain roti dan kek,” katanya.

Katanya, pembabitannya dalam bidang kesihatan membuatkan beliau cenderung untuk menghasilkan produk makanan sihat.

“Saya menghasilkan produk makanan sihat memandangkan saya juga adalah pemilik pusat pentauliahan jurulatih kecergasan profesional di Asia Tenggara dan pengambilan makanan sihat adalah gaya hidup saya,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2020 @ 2:09 PM