ULAR tedung selar yang ditangkap APM di bawah sofa di Kuarters JPS, Ulu Bendul, di sini, tengah hari semalam. FOTO ihsan APM
ULAR tedung selar yang ditangkap APM di bawah sofa di Kuarters JPS, Ulu Bendul, di sini, tengah hari semalam. FOTO ihsan APM
Ahmad Hasbi


Kuala Pilah: Seorang lelaki tidak menyangka kelibat ekor ular yang dilihat di bawah sofa di rumahnya di Kuarters JPS, Ulu Bendul, di sini, tengah hari semalam, adalah ular tedung selar seberat kira-kira tujuh kilogram (kg).

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, pemilik rumah yang sedang berehat di ruang tamu bernasib baik kerana ternampak pergerakan reptilia yang lebih dikenali sebagai 'King Cobra' berkenaan.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Pilah, Leftenan (PA) Mohamad Ghazali Abd Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan operasi khas haiwan berbisa jam 12.20 tengah hari.

"Seramai empat anggota APM dari Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Kuala Pilah ke lokasi iaitu rumah di Kuarters JPS bagi kes menangkap ular.

"Lelaki berusia 40 tahun itu menyedari kehadiran ular itu ketika sedang menonton televisyen lalu ternampak pergerakan ekor ular menyusuri ke bawah sofa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohamad Ghazali berkata, anggota segera memulakan operasi menangkap ular dengan menggunakan penjerut ular.

"Operasi berjaya menangkap seekor ular tedung selar atau lebih dikenali sebagai King Cobra sepanjang kira-kira lima meter," katanya.

Beliau berkata, reptilia yang mempunyai bisa tahap tinggi itu dibawa ke PKOD Kuala Pilah sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan selanjutnya.

"Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dengan ancaman bahaya atau bencana dan diminta untuk segera menghubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Disember 2022 @ 12:09 PM