Zuliaty Zulkiffli


BUNYI mencurigakan di stor sebuah rumah di Kampung Tanjung Jalan Tualak, dekat Padang Terap, rupanya daripada ular tedung selar sepanjang lima meter (m).

Ia disedari oleh penghuni rumah berkenaan, wanita berusia 30-an, ketika dia mencari barangan untuk membuat cendol, jam 6.30 petang semalam.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Padang Terap, Leftenan (PA) Mohd Shukri Shuib berkata, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) menerima panggilan kecemasan jam 6.55 petang.

Beliau berkata, wanita itu memaklumkan terdapat ular tedung selar yang kemudian menyelinap ke dalam almari baju rumahnya.

“Pemanggil terus bertindak menelefon pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Padang Terap untuk menangkap ular berkenaan.

“Anggota kami bergegas ke lokasi dan tiba di lokasi, jam 7.11 malam, bersama empat anggota Leftenan Muda (PA) Nurul Nadya Yahya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Shukri berkata, anggotanya mengambil masa 20 minit untuk menangkap ular tedung selar berkenaan kerana ia bertindak agresif.

Beliau berkata, ular seberat kira-kira 10 kilogram itu berjaya ditangkap dan dibawa ke pejabat APM Padang Terap untuk tindakan lanjut.

“Sepanjang bulan ini kami menerima 78 kes membabitkan kehadiran ular di daerah ini.

“Kita minta orang ramai supaya berhati-hati dengan kehadiran reptilia ini disebabkan perubahan monsun timur yang menyebabkan cuaca panas dan mengundang kehadiran reptilia ini,” katanya.

Mohd Shukri berkata, ular biasanya bersembunyi di tempat sejuk seperti bilik tidur, bilik air, atas siling untuk berlindung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Disember 2019 @ 12:24 PM
ANGGOTA APM Padang Terap menunjukkan ular tedung selar terbabit. FOTO Ihsan APM
ANGGOTA APM Padang Terap menunjukkan ular tedung selar terbabit. FOTO Ihsan APM