NOOR Fazida menangkap seekor ular tedung selar menggunakan tangan saja di sebuah kawasan perindustrian di Rawang. FOTO Ihsan Noor Fazida
NOOR Fazida menangkap seekor ular tedung selar menggunakan tangan saja di sebuah kawasan perindustrian di Rawang. FOTO Ihsan Noor Fazida
Amirul Haswendy Ashari.


“MULUT orang, biasalah! Banyak lagi benda boleh buat dan saya hanya abaikan sebab apabila berdepan dengan haiwan berbisa, kena 100 peratus fokus pada haiwan itu.

“Saya kena abaikan suasana sekeliling sebab apabila silap langkah, akan mengundang bahaya dan membawa maut,” jelas anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Noor Fazida Tina Mohamad Noor, 38, satu-satunya ‘bunga’ dalam Skuad King Cobra JBPM.

Kecekapan Noor Fazida menangkap seekor ular tedung selar menggunakan tangan saja di sebuah kawasan perindustrian di Rawang, menarik perhatian warganet selepas rakaman video berkaitan tular di laman sosial Twitter dan Facebook sejak semalam.

Noor Fazida, ketika dihubungi Harian Metro berkata, dia mula mempelajari ilmu menangkap haiwan berbisa dengan Allahyarham Abu Zahin Hussin, anggota bomba yang meninggal dunia akibat dipatuk ular tedung dalam satu operasi di Bentong pada 16 Mac tahun lalu.

“Saya mula belajar pada Disember 2015, apabila arwah mengajak saya menyertai pasukan yang baru hendak ditubuhkannya.

“Saya cakap dengan arwah, nak kata saya takut tidak juga sebab sudah biasa terbabit dalam operasi menyelamat tapi nak kata berani sangat pun tidak.

“Arwah memberitahu, saya tidak perlu risau sebab selagi ada ‘Wira Penyelamat’, tiada apa pun akan berlaku,” katanya sudah 15 tahun berkhidmat dalam JBPM.

Menurut ibu kepada dua anak ini lagi, dia bersama-sama arwah dan beberapa anggota bomba lain berkumpul selama tiga hari di Akademi JBPM Wakaf Tapai untuk menghasilkan modul asas pengendalian haiwan berbisa dan seterusnya digunakan dalam kursus untuk rekrut baru selama sebulan.

“Daripada situlah saya mula berjinak-jinak untuk belajar mengenai pengendalian haiwan berbisa terutama ular. Ular sebenarnya tidak boleh dijinakkan kerana sifatnya yang liar, cuma apabila dipelihara dan sudah terbiasa dengan bau manusia, dia akan jadi lain.

“Selepas belajar dengan arwah, saya bersama arwah dan beberapa anggota menubuhkan Skuad King Cobra JBPM yang setakat hari ini mempunyai empat anggota, kesemuanya lelaki kecuali saya,” katanya kini berkhidmat di Balai Bomba dan Penyelamat Rawang.

Bercakap mengenai tanggapan diterima terutama daripada keluarga, anak sulong dari enam adik beradik berasal dari Ipoh, Perak, akui pada awal ibunya sangat terkejut.

Tapi selepas menjelaskan, semua anggota terbabit menjalani kursus pengendalian haiwan berbisa, barulah perasaan risau dan takut daripada ahli keluarga mulai hilang.

Dia turut mendedahkan di Malaysia terdapat 142 spesis ular tetapi hanya 16 spesis di darat dan 22 spesis di laut adalah berbisa.

“Saya selalu berlatih dengan ular berbisa di balai untuk membiasakan diri dengan haiwan itu, ia juga sebagai cara untuk terus membina keyakinan diri,” katanya sudah menangkap lebih 100 ekor ular sejak bersama Skuad King Cobra JBPM.

Dia bakal terbabit membuat demonstrasi mengendali haiwan berbisa sempena sambutan Hari Bomba Sedunia di Dataran Merdeka pada 20 Julai ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 9:53 PM