Oleh Ahmad Ismail


Segamat: Bahagian Kawalan dan Penguatkuasaan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) Johor mengambil inisiatif menjalankan seminar tata cara lupus al-Quran lama, buku agama serta perhiasan yang mengandungi ayat al-Quran bagi membantu kariah mendapatkan keberkatan.

Pengarahnya, Mohd Nashuddin Daud berkata, seminar itu bagi menyediakan platform ilmu kepada kariah Islam untuk melupuskan bahan terbabit dengan kaedah tertib dan betul

"Adalah menjadi tanggungjawab pihaknya sebagai moderator kepada pemilik bahan berkenaan untuk memastikan ia dilupuskan menggunakan kaedah sebaiknya.

"Kita tahu bahan yang mengandungi ayat al-Quran tidak boleh dibuang seperti barang lain dan masyarakat Islam harus ambil tahu bagaimana cara untuk melupuskannya.

"Disebabkan itu, pihaknya menyediakan khidmat pendedahan melalui seminar ini bagi membantu orang ramai melupuskan bahan berkenaan dengan kaedah betul," katanya ketika ditemui Seminar Pemuliaan Al-Quran Dan Pelupusan Teks Al-Quran Peringkat Negeri Johor Tahun 2022 di Dewan Terbuka Masjid Taman Yayasan di sini , semalam.

Turut hadir, Pengerusi Masjid Taman Yayasan Ramlee Ramlan, Pegawai Pentafsir Al-Quran Jabatan Agama Islam Segamat (JAIS) Mohd.Faiz Abidin, kakitangan Jabatan Kadi Segamat dan 300 peserta seminar pelbagai usia.

Mohd Nashuddin berkata, seminar itu mendapat kerjasama ahli jawatankuasa (AJK) masjid berkenaan, kakitangan JAIS, Pejabat Kadi Segamat, pelajar pusat tahfiz, kariah setempat, guru agama menjadi peserta.

"Setelah bahan dikumpul, peserta akan dipandu melupuskan al-Quran lama dalam ketuhar khas di pusat pelupusan ayat suci bersebelahan masjid ini membabitkan lebih 100 al-Quran selain kitab-kitab lama yang tidak boleh dibaca dianggarkan seberat lebih 100 kilogram.

"Pusat pelupusan ini menerima banyak al-Quran lama untuk dilupuskan hasil sumbangan orang ramai sejak ia dibuka pada 4 September 2018 ada sebahagiannya berada dalam keadaan rosak terutamanya terkesan akibat bah.

"Wajib memastikan kesuciannya terpelihara, naskhah al-Quran dan kitab-kitab lama tidak boleh dijual kepada orang kafir kerana dikhuatiri mereka tidak menghormatinya untuk dilupuskan," katanya

Sementara itu, pelajar tahfiz, Nordin Abd Ghani 16, berkata, dia mengambil peluang menyertai seminar pelupusan teks al-Quran, kitab, surah Yasin serta muqadam lama kerana tambahan ilmu kaedah betul bagi melupuskan bahan berkenaan.

"Pernah ada bahan lama itu peninggalan arwah datuk saya yang sudah berusia lebih 30 tahun. Akibat disimpan terlalu lama, ia jadi rosak kerana dimakan anai-anai.

"Namun, ketika itu, saya terus menyimpan bahan berkenaan tidak tahu cara untuk dilupuskan memandangkan tidak tahu wujudnya pusat pelupusan ayat suci, "katanya.

Nordin berkata, penganjuran seminar berkenaan adalah bagus untuk menjadi saluran terutamanya generasi siber melupuskan bahan berkenaan dengan kaedah betul.

"Saya sendiri tidak berani untuk melupuskan bahan berkenaan suatu ketika dahulu. Jadi apabila ada program sebegini, ia adalah bagus bagi orang ramai kerana ada saluran pengetahuan yang betul sebelum melakukannya.

"Adalah menjadi tanggungjawab semua umat Islam sebagai pemilik bahan berkenaan untuk memastikan ia dilupuskan menggunakan kaedah betul," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2022 @ 3:21 PM
Nashuddin Daud (dua dari kiri) melihat abu sisa ayat suci dalam bentuk bata. FOTO AHMAD ISMAIL
Nashuddin Daud (dua dari kiri) melihat abu sisa ayat suci dalam bentuk bata. FOTO AHMAD ISMAIL