SITUASI jalan raya di Kluang yang saban kali mengalami kerosakan walaupun sudah diperbaiki.
SITUASI jalan raya di Kluang yang saban kali mengalami kerosakan walaupun sudah diperbaiki.
Oleh Mohamad Fahd Rahmat


Johor Bahru: Jaringan jalan raya sistematik, berkualiti dan baik penting untuk rakyat menikmati infrastruktur asas yang selesa, seiring hasrat mencapai status negara maju.

Bagaimanapun, mengambil kira usia Malaysia yang sudah mencapai 65 tahun, tidak mustahil ada laluan penghubung itu yang rosak dan berlubang yang memerlukan pembaikan atau naik taraf.

Seperti berlaku di Kluang, Mersing dan sekitarnya apabila ada penduduk yang merungut mengenai kualiti jalan raya yang tidak bermutu serta rosak walaupun selepas dibaiki.

Kata mereka, penurapan yang tidak kemas menyebabkan jalan berlubang, sekali gus berisiko kepada pengguna jalan raya.

Ahmad Fauzi Mohamad Nor, 45, yang memiliki bengkel kereta di Kluang berkata, ada beberapa laluan di daerah itu yang tidak rata dan berlubang yang berisiko menyebabkan kemalangan.

"Apabila jalan banyak berlubang, maka akan banyak berlaku kemalangan, ada pelanggan yang datang ke bengkel mengadu hal ini dan memang itulah realitinya.

"Di Kluang ini antara jalan raya yang bermasalah adalah di persimpangan lampu isyarat ke Taman Intan, beberapa lokasi di Jalan Batu Pahat-Mersing selain Jalan Batu 4 Kluang ke Mersing.

"Jalan raya di kawasan ini kerap berlubang dan kerap juga ditampal ulang kali. Kualiti kerja tampalan yang tidak kemas mengancam nyawa pengguna jalan," katanya yang mahu kerajaan mengambil serius perkara itu.

Sementara itu, seorang pemandu ambulans swasta, Muhamad Azam Ali Ahmad, 34, mengakui masalah jalan yang tidak elok di kawasan berkenaan.

"Saya bawa pesakit pun melambung-lambung bila melalui jalan yang berlubang di Kluang. Kalau hari gelap dan hujan memang tidak nampaklah lubang atas jalan.

"Jika berlaku kemalangan, yang menanggung rugi adalah pemandu kenderaan atau penunggang motosikal itu sendiri...sampai hilang nyawa pun ada disebabkan masalah ini," katanya.

Menurutnya, antara laluan 'panas' adalah laluan menghubungkan Kluang ke Mersing, malah turut gelap apabila tiada lampu jalan mencukupi.

"Saya dan rakan-rakan pernah konvoi bermotosikal ke Mersing dari Kluang dan ada rakan yang terbabit kemalangan disebabkan jalan raya tak sempurna ini," katanya.

Bagi penjawat awam yang mahu dikenali sebagai Rostam, 30-an, jalan raya di sekitar Mersing termasuk di sekitar Felda Tenggaroh Selatan kerap rosak walaupun sudah ditampal.

"Kalau orang luar yang tidak tahu jalan itu rosak terutama waktu malam, memang boleh bengkok rim, atau berisiko kemalangan," katanya.

Mohd Ridhwan Othman yang tinggal di Kempas pula berkata, kerajaan negeri sepatutnya memantau kerja menaik taraf jalan yang dilaksana kontraktor lantikan agar tiada yang culas.

"Jangan ambil kontraktor buat kerja seperti melepaskan batuk di tangga," katanya yang mendakwa ada kontraktor yang kualiti kerjanya tidak setimpal dengan perbelanjaan yang dikeluar kerajaan.

Menurutnya, apabila keadaan itu berlaku, rakyat yang terpaksa menanggung masalah sama berulang kali dan mengibaratkan masalah jalan rosak tidak diselesaikan.

"Kita seolah-olah membiarkan pihak berkenaan melakukan kerja menurap dan membaiki jalan yang berulang-ulang di lokasi sama" katanya.

Ikuti penjelasan pihak berkuasa berhubung isu ini dalam terbitan Harian Metro esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2022 @ 8:00 AM