GAMBAR hiasan. FOTO Arkib BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib BERNAMA
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Ramai pemandu di Malaysia masih tidak menyedari mereka boleh membuat tuntutan sekiranya terlanggar halangan mahupun jalan rosak hingga menyebabkan kecederaan mahupun kerosakan pada kenderaan mereka.

Peguam untuk tuntutan kecederaan kemalangan jalan raya di Tetuan Aqilah Annisa & Co, Nur Aqilah Zainal Abidin berkata, pengguna mempunyai hak menuntut ganti rugi am atau khas di mahkamah jika mereka mengalami kecederaan mahupun kenderaan mereka rosak akibat halangan di jalan raya.

Katanya, pengguna boleh mengambil khidmat peguam berikutan golongan itu lebih arif mengenai kertas kausa dan dokumen yang diperlukan secara teknikal untuk membuat tuntutan itu.

"Kebanyakan pengguna jalan raya di Malaysia masih belum mempunyai pengetahuan mengenai hak mereka dalam kes sebegini.

"Pengguna jalan raya mengalami kemalangan akibat lubang dan halangan seperti besi atau dahan pokok di jalan raya menyebabkan kecederaan mahupun sebarang bentuk kerugian, pengguna boleh menuntut ganti rugi am dan khas daripada pihak yang bertanggungjawab terhadap jalan itu," katanya kepada Harian Metro.

Beliau mengulas perkongsian info Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengenai hak pengguna membuat tuntutan ganti rugi jika kemalangan disebabkan melalui jalan berlubang .

Mengulas lanjut, Nur Aqilah berkata, tempoh membuat tuntutan antara enam bulan hingga lebih setahun bergantung kepada dokumen diperlukan seperti dokumen balai polis trafik dan perubatan dari hospital atau klinik.

"Pengguna perlu membuat laporan polis terlebih dulu dan memberitahu polis trafik tujuan membuat laporan untuk membuat tuntutan ganti rugi am dan khas di mahkamah daripada pihak yang bertanggungjawab.

"Kemudian, polis trafik akan ke tempat kemalangan dan membuat siasatan seperti mengambil gambar kemalangan dan gambar lubang atau halangan di jalan itu.

"Siasatan dan dokumen polis penting dalam membuat tuntutan kepada pihak yang bertanggungjawab tadi," katanya.

Bagaimanapun katanya, pengguna tidak layak membuat tuntutan sekiranya keadaan jalan menunjukkan pihak bertanggungjawab sudah meletakkan amaran seperti simbol amaran mengenai terdapat halangan di hadapan.

"Sekiranya pengguna gagal mengambil perhatian dan peka terhadap amaran itu, ia dikatakan kecuaian sendiri dan tidak layak membuat tuntutan ganti rugi," katanya.

Pada November 2022, seorang mekanik di Kota Bharu, Kelantan, yang putus kaki kiri akibat kemalangan selepas melanggar jalan berlubang, memenangi kes tuntutan saman bernilai RM652,000 terhadap kontraktor penyelenggara jalan raya terbabit.

Selain itu, seorang warga Pakistan di Selangor juga berjaya memperoleh pampasan RM50,000 selepas motosikal ditunggangnya kemalangan akibat melalui jalan berlubang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 4:35 PM