Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan membuat tinjauan  jalan rosak di Jalan Kluang - Mersing, Kluang, Johor. Foto Mohamad Fahd Rahmat
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan membuat tinjauan jalan rosak di Jalan Kluang - Mersing, Kluang, Johor. Foto Mohamad Fahd Rahmat
Oleh Mohamad Fahd Rahmat


Kluang: Peruntukan berjumlah RM30 juta diperlukan bagi membaiki kerosakan jalan, cerun dan jambatan yang rosak akibat bencana banjir di negeri ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, 37 lokasi rosak akibat bencana itu dikenal-pasti dengan Kluang, Mersing dan Kota Tinggi adalah daerah paling teruk terjejas.

"Alhamdulillah, saya turun padang melihat lokasi bencana alam banjir di Jalan Kluang-Kota Tinggi yang mengalami masalah cerun runtuh dan di Jalan Kluang-Mersing membabitkan kejadian air lintas dan merosakkan jalan.

"Kita kenal-pasti ada 37 lokasi bencana iaitu banjir dengan 29 lokasi, cerun runtuh ada lapan lokasi selain kerosakan jalan, kita buat anggaran awal, kita perlukan RM30 juta," katanya pada lawatan kerja di Jalan Kluang-Mersing, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Ir Mohamad Fazli Mohamad Salleh dan Pengarah JKR Negeri Johor Abu Bakar Abd Aziz.

Ahmad berkata, kerja pembaikan cerun akan dilakukan seawal minggu ini manakala kerja pembaikan dan jalan pula bergantung kepada keadaan cuaca.

"Kerja-kerja awalan itu sudah dimulakan. Contoh, menutup cerun yang runtuh dengan kaedah kanvas dan sebagainya. Jika pembetulan dan penambahbaikan itu dibuat dalam keadaan hujan lebat, ia tidak akan berkesan," katanya.

Beliau berkata, kementeriannya juga menetapkan tempoh 24 jam bagi kerja tampalan di Jalan Persekutuan yang berlubang akibat banjir dan sebagainya.

"Kita ada SOP (prosedur operasi standard) di kementerian untuk menampal dalam masa 24 jam, dan setakat ini KPI (petunjuk prestasi utama) penampalan 24 jam itu sudah kita penuhi.

"Tetapi kalau kerosakan yang agak panjang begini, tidaklah boleh 24 jam, tapi kalau berlubang, memang dalam tempoh 24 jam," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, lebih 5,000 kawasan jalan berlubang berjaya ditampal sepanjang 2023 di Jalan Persekutuan di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2024 @ 2:03 PM