Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Kementerian Kerja Raya (KKR) menampal 7,700 jalan berlubang atau 'potholes' di Semenanjung Malaysia bermula Januari sehingga Disember 2022.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, jumlah jalan berlubang yang ditampal adalah sebanyak 56,553.

"Keseluruhan jalan berlubang berjaya ditampal dalam tempoh 24 jam bagi Semenanjung Malaysia manakala bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, hanya 431 jalan berlubang tidak dapat ditampal dalam tempoh 24 jam dengan peratusan pencapaian adalah sebanyak 99.24," katanya dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) yang bertanyakan tentang pencapaian terkini KKR dalam pelaksanaan sifar jalan berlubang atau 'zero potholes'.

Abdul Rahman berkata, melalui program sifar jalan berlubang, kerja-kerja penampalan jalan berlubang akan dilaksanakan dalam tempoh masa 24 jam daripada penemuan atau aduan kerosakan.

"Selain itu, bagi memantau kualiti tampalan jalan berlubang, JKR (Jabatan Kerja Raya) juga telah melaksanakan audit tampalan jalan berlubang bagi memastikan tampalan yang dibuat mengikut spesifikasi yang ditetapkan," katanya.

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2023 @ 2:15 PM