KENDERAAN melalui Jalan Mantin-Beranang yang mengalami kerosakan sehingga meragut nyawa kelmarin. FOTO Azrul Edham
KENDERAAN melalui Jalan Mantin-Beranang yang mengalami kerosakan sehingga meragut nyawa kelmarin. FOTO Azrul Edham
Ahmad Hasbi


Nilai: Selepas kemalangan yang meragut nyawa seorang lelaki dipercayai berpunca daripada keadaan Jalan Mantin-Beranang, di sini, kelmarin, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nilai, J Arul Kumar melahirkan rasa kecewa terhadap pihak yang bertanggungjawab menyelenggara kemudahan itu.

Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan itu mendakwa, Jabatan Kerja Raya (JKR) gagal menyelenggara jalan persekutuan di negeri ini dengan baik terutamanya di Nilai.

Arul Kumar berkata, terdapat beberapa jalan berlubang malah sudah beberapa kali berlaku kerosakan berulang yang sepatutnya diambil tindakan penyelesaian secara menyeluruh namun hanya ditampal saja.

"Seperti masalah kerosakan di Jalan Mantin-Beranang yang meragut nyawa pagi kelmarin, saya sendiri pada minggu lalu sudah ke kawasan itu dan minta JKR ambil tindakan.

"Tindakan diambil hanya menampal lubang di situ sedangkan isu utama adalah air mengalir dari tanah bersebelahan sehingga menyebabkan ia bertakung menyebabkan lama-kelamaan jalan itu rosak," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, kegagalan pihak bertanggungjawab menyelesaikan isu itu menyebabkan kerajaan negeri dikritik kerana gagal menyediakan infrastruktur yang baik.

Menurutnya, kebanyakan aduan diterima berhubung jalan rosak membabitkan jalan persekutuan, bukan jalan negeri.

"Jalan-jalan negeri, kita jaga dengan baik dan jika ada aduan jalan rosak, kita akan cuba selesaikan segera.

"Masalahnya sekarang, kita tak dapat selesaikan isu-isu di jalan persekutuan. Kita tidak boleh lagi tunggu orang mati atau apabila sudah banyak berlaku kemalangan baru nak buat kerja," katanya.

Sehubungan itu beliau meminta JKR mengambil tindakan lebih agresif bagi menyelesaikan isu jalan persekutuan dengan memberi keutamaan kepada laluan berisiko kemalangan.

Arul Kumar berkata, beliau juga memaklumkan kepada Menteri Besar supaya kerajaan negeri mencari jalan penyelesaian dalam menangani isu itu.

Harian Metro sebelum ini melaporkan seorang bapa, Md Yatim, 61, merayu pihak berkuasa supaya membaiki Jalan Mantin-Beranang selepas ia dipercayai menjadi punca kemalangan yang meragut nyawa anak lelakinya.

Allahyarham Mohamad Fitri Abdul Sani, 30, maut dalam kemalangan berhadapan Taman Senangin ketika dalam perjalanan ke tempat kerja menggunakan motosikal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Disember 2023 @ 1:14 PM