ABDUL Rahman. FOTO Fail Bernama.
ABDUL Rahman. FOTO Fail Bernama.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Kementerian Kerja Raya memaklumkan sudah menampal 2,138 jalan berlubang atau 'potholes' membabitkan jalan persekutuan Semenanjung Malaysia, sehingga April lalu.

Timbalan Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, bagi 2022, sebanyak 8,519 jalan berlubang di jalan persekutuan Semenanjung Malaysia ditampal.

Katanya, Jabatan Kerja Raya (JKR) juga membangunkan satu sistem aduan dikenali Sistem Aplikasi Pemantauan Potholes (ASaPP) pada 2021 bagi memantau jalan berlubang melalui penggunaan telefon bimbit, tablet dan komputer.

"Semua aduan berkaitan dengan tampalan jalan berlubang akan didaftarkan di dalam aplikasi ini.

"Jalan berlubang yang ditemui akan terus ditampal dan direkodkan dalam sistem ASaPP yang boleh dicapai oleh semua pihak terlibat iaitu ibu pejabat JKR Malaysia, JKR daerah dan syarikat konsesi penyelenggaran jalan persekutuan Semenanjung Malaysia," katanya semasa sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Mohd Azizi Abu Naim (PN-Gua Musang) yang ingin tahu sejauh mana KKR memastikan dasar sifar jalan berlubang dilaksana segera dan memastikan setiap kerja penampalan jalan yang dibuat mengikut spesifikasi ditetapkan.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, di bawah program sifar jalan berlubang, kerja-kerja tampalan akan dilaksana dalam tempoh masa 24 jam daripada penemuan atau aduan kerosakan.

Selain itu katanya, kerja-kerja itu perlu dipastikan kualiti tampalannya dengan merujuk kepada spesifikasi yang ditetapkan iaitu menggunakan rujukan Standard Specification for Roadwordks JKR/SPJ/2008.

"Pihak JKR sentiasa memantau pelaksanaan kerja penampakan jalan berlubang bermula dari pemilihan bahan turapan yang diperolehi dari kuari yang telah diluluskan bagi menjamin hasil penampalan yang berkualiti dan dapat bertahan lama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2023 @ 11:31 AM