Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Penduduk mendakwa banjir yang melanda di penempatan mereka seakan-akan bah 2014 kerana paras air yang tinggi, selain banjir naik mendadak dalam masa hanya satu malam.

Tinjauan ke Kampung Kubang Kual dan Kampung Baroh Pial, hari ini, mendapati majoriti penduduk terpaksa meninggalkan rumah masing-masing untuk berpindah ke tempat selamat selain jalan utama dinaiki air separas satu meter (m).

Mangsa, Mohd Zuhar Jusuh, 53, berkata, kali terakhir dia berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) adalah pada bah 2014, kerana banjir besar melanda, dan hari ini peristiwa itu seperti berulang kembali.

"Setiap tahun penempatan kami dilanda banjir, tetapi dengan paras air biasa-biasa sahaja, namun kali ini ia agak luar biasa sehingga bahagian dalam rumah digenangi air setinggi 0.8 meter.

"Apatah lagi di halaman rumah yang mana air mencecah 1.5 meter. Hanya bot atau perahu yang boleh digunakan untuk membawa kami keluar dan saya bersyukur apabila pasukan keselamatan datang menghulurkan bantuan.

"Saya dan isteri, Jamilah Razak, 53, hanya sempat membawa beberapa helai baju serta dokumen penting untuk diselamatkan," katanya selepas ditemui di Kampung Baroh Pial, di sini, hari ini.

Agensi keselamatan bergabung tenaga menyelamatkan mangsa banjir yang terperangkap membabitkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM)

Seorang lagi mangsa, Zainab Yusuf, 67, berkata dia tidak menyangka paras air terlalu tinggi sehingga menenggelamkan kediaman dua tingkat miliknya.

"Sewaktu banjir besar Februari lalu, kami di sini hanya banjir biasa sahaja, tapi kali ini saling tak tumpah seperti banjir 2014. Melihat kepada hujan lebat dan angin kencang malam tadi, saya sudah dapat mengagak bahawa banjir besar bakal berlaku.

"Saya berharap banjir tidak lama kerana bimbangkan keadaan rumah serta perabot yang tidak sempat diangkat ke tempat tinggi," katanya.

Sebahagian daripada penduduk yang diselamatkan anggota penyelamat di Kampung Baroh Pial, di sini, hari ini. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
Sebahagian daripada penduduk yang diselamatkan anggota penyelamat di Kampung Baroh Pial, di sini, hari ini. FOTO SYAHERAH MUSTAFA

.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2022 @ 6:47 PM