Syaherah Mustafa

Pasir Mas: Gadis terpaksa melupakan impiannya untuk menjadi anggota polis apabila mengidap penyakit talasemia.

Siti NorsahiraAbdullah, 21, yang sebelum ini melanjutkan pelajaran dalam Diploma Kepolisan dan Penyiasatan di Kolej Unikop milik Koperasi Polis Diraja Malaysia (KPDRM) di Cyberjaya terpaksa menundakan dahulu pengajian kerana tahap kesihatannya semakin merudun.

Dia yang juga anak bongsu daripada lima beradik berkata, hampir setiap hari dia perlu menjalani rawatan penyingkiran zat besi dengan menggunakan suntikan yang perlu diambil selama lima hari seminggu tanpa gagal.

"Suntikan ubat pada bahu atau perut ini mengambil masa selama berjam-jam dan dilakukan pada waktu malam ketika mahu tidur.

"Saya perlu pastikan ubat ini diambil kerana jika tidak, badan saya akan menjadi lemah tidak berdaya.

"Selain itu, saya juga perlu memasukkan darah ke dalam badan sebanyak tiga hingga empat kali sebulan.

"Sebenarnya, sejak beberapa tahun lalu sakit saya dilihat semakin reda sehingga saya mampu melanjutkan pelajaran namun ia kembali menyerang pada tahun lalu.

"Saya menghidap talasemia sejak berusia sembilan bulan tetapi Alhamdulillah, zaman persekolahan dapat dilalui dengan sebaiknya walaupun tidak dapat aktif dengan aktiviti luar," katanya.

Siti Norsahira ditemui di rumahnya selepas menerima lawatan daripada wakil Thirdforce di bawah Yayasan Raja Shamri (YRS) Tuan Zaimah Raja Omar di Kampung Bendang Ikan, Baroh Pial di sini, kelmarin.

Menurut Siti Norsahira, dia reda dengan ujian yang menimpa dirinya namun tidak akan berputus asa selain mahu terus bangkit sekurang-kurangnya bekerja bagi membantu keluarga terutama ibunya, Siti Fatimah Awang Kechik, 52.

"Selain menderita mengidap talasemia, pihak hospital turut memaklumkan saya kemungkinan besar mengalami kebocoran injap jantung dan kini dalam proses pemeriksaan sama ada perlu menjalani pembedahan atau tidak.

"Saya akui risau jika ia membabitkan kos yang tinggi kerana kami sekeluarga hanya hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

"Walaupun banyak ujian menimpa saya, saya tetap positifkan diri agar boleh kembali sihat seperti biasa," katanya yang sentiasa murah dengan senyuman.

Menurutnya, dia reda jika tidak dapat mencapai cita-cita sebagai anggota polis, namun berharap untuk sihat bagi membantu ibu yang banyak berjasa buatnya sejak daripada kecil.

Wakil Thirdforce dibawah Yayasan Raja Shamri (YRS), Tuan Zaimah Raja Omar,  (kanan) melawat Siti Norsahira (tengah) di Kampung Bendang Ikan, Baroh Pial, semalam. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
Wakil Thirdforce dibawah Yayasan Raja Shamri (YRS), Tuan Zaimah Raja Omar, (kanan) melawat Siti Norsahira (tengah) di Kampung Bendang Ikan, Baroh Pial, semalam. FOTO SYAHERAH MUSTAFA

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mei 2023 @ 11:13 AM