Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Operasi perniagaan di Pekan Rantau Panjang, di sini, ditutup sepenuhnya akibat banjir yang melanda kawasan berkenaan susulan limpahan air Sungai Golok, hari ini.

Tinjauan mendapati kesemua pintu masuk utama yang dikawal Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan ke pekan berkenaan dinaiki air setinggi 0.5 sehingga 1.5 meter, manakala 100 peratus premis jualan ditutup.

Peniaga, Azhar Che Daud, 48, berkata dia tidak menjangka banjir melanda pekan Rantau Panjang apabila dimaklumkan air mula memasuki pekan sekitar 4 pagi tadi

"Saya datang ke kedai sebelum waktu Subuh untuk mengangkat pakaian yang dijual ke tempat lebih tinggi kerana khuatir ditenggelami air.

"Kebiasaannya apabila banjir, air akan memasuki kedai pada paras 0.3 meter, namun jika bah besar, parasnya lebih tinggi.

"Sebenarnya banjir kali ini di luar jangkaan kerana kami ingatkan musim kemarau berpanjangan, rupanya banjir sekali lagi. Kami baharu tersenyum gembira kerana dapat berniaga, namun diuji lagi dengan banjir," katanya.

Katanya, mereka juga sudah biasa berdepan situasi banjir, tetapi terkejut kerana air naik dengan cepat selain di luar musim tengkujuh.

Suasana banjir di Kampung Cabang Tiga, Rantau Panjang, di sini, hari ini. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
Suasana banjir di Kampung Cabang Tiga, Rantau Panjang, di sini, hari ini. FOTO SYAHERAH MUSTAFA

Peniaga kedai makan, Rosnah Saari, 52, berkata dia bernasib baik kerana sudah mengemas barangan sejak petang semalam kerana berasa tidak 'sedap hati' dengan hujan lebat dan angin kencang.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Imran Ismail berkata, Pkan Rantau Panjang sudah dijangka akan banjir jika bacaan paras sungai melebihi 10 meter (m).

"Malah, pihak kami turut menerima banyak panggilan daripada penduduk yang terkesan dengan banjir meminta bantuan untuk berpindah ke tempat selamat.

"Selain itu, pemantauan berkala di kawasan perniagaan turut dilakukan kerana terdapat banyak penempatan yang memerlukan penduduk berpindah jika paras air terus meningkat," katanya.

Menurut laman web publicinfobanjir.water.gov.my setakat 2.15 petang tadi, air Sungai Golok masih mencatat bacaan melebihi paras bahaya iaitu 10.42 m dengan situasi trend meningkat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Februari 2022 @ 3:23 PM